Oleh Fauzrina Hj Bulka / Impresi Pelukis Wajah Panglima Awang oleh Lydia Aznar-Alfonso Museum Foundation of the Visayas, Inc
MELAKA, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Kejatuhan Kesultanan Tanah Melayu Melaka pada tahun 1511 merupakan babak hitam dalam sejarah, namun di sebalik itu, terdapat catatan sejarah yang perlu dibincangkan iaitu perihal manusia pertama yang mengelilingi dunia sebenarnya merupakan orang Melayu.
Panglima Awang atau Henry The Black dan Enrique of Malacca adalah orang Melayu dari Melaka yang dikatakan manusia pertama mengelilingi dunia, merentasi wilayah Goa, Tanjung Pengharapan, Cape Verde, Lautan Hindi, Laut Arab, Lautan Atlantik hingga ke Lautan Pasifik dan terus ke Wilayah Nusantara.
“Kita tertanya-tanya tentang sikap sesetengah pihak yang cuba memutarbelitkan fakta sejarah, begitu juga Panglima Awang atau Henry The Black yang dinafikan oleh Barat mengatakan bahawa Ferdinand Magellan (tuan kepada Panglima Awang) adalah manusia pertama mengelilingi dunia,” ujar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Tambahnya, ia membuktikan betapa hebatnya bangsa Melayu ketika itu sehingga masyarakat Barat sanggup mengubah sejarah.
“Bertitik-tolak dari sejarahlah kerajaan negeri sedang merancang menjadikan Melaka sebuah negeri pelabuhan atau bandar pelabuhan atau city port yang melengkapkan jalan sutera laut atau marine silk road abad ke-21 yang di dalamnya terdapat 40 buah bandar utama merangkumi lebih 70 peratus atau empat billion penduduk dunia,” kata Idris.
Menurut Idris lagi, tugas dan peranan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) semakin besar dan isu-isu tentang kesahihan dan kewujudan Hang Tuah, Panglima Awang, Sultan Melaka dan sebagainya sudah berlegar di media sosial dan ini menimbulkan kebimbangan akan merosakkan minda masyarakat khususnya generasi muda.
“Harapan saya dengan pendedahan daripada seminar ini akan memberi tanggapan dan ilmu baru tentang tokoh Panglima Awang dan semoga hasrat kerajaan negeri untuk mengembalikan kegemilangan Melaka akan tercapai. The glory of Melaka shall return (Kemasyuran Melaka akan kembali),” ujarnya pagi tadi semasa merasmikan Seminar Antarabangsa Ketokohan Panglima Awang di Auditorium Seri Negeri.
-DZ