
Oleh : Daniel Jong
SEREMBAN, 17 Mei – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sembilan telah mengadakan Program Ziarah Kasih bagi merapatkan silaturahim bersama bekas pegawai dan kakitangan JaPen yang pernah berkhidmat di negeri ini.
Ziarah ini telah diketuai oleh Penolong Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Rozita Ibrahim bersama 17 orang kakitangan. Penganjuran program ini adalah untuk meneruskan kesinambungan program rakan strategik JaPen yang bertujuan untuk menghargai jasa serta merapatkan silaturahim bersama bekas kakitangan Jabatan Penerangan yang pernah mencurahkan bakti di negeri ini. Rakan Strategik JaPen juga bertujuan untuk menjadikan bekas kakitangan jabatan ini sebagai sumber untuk mendapatkan pandangan dan perkongsian pengalaman bagi memantapkan fungsi jabatan ini.
Ziarah kali ini melibatkan tiga orang pesara iaitu Abu Samah Samsudin yang pernah berkhidmat di Pejabat Penerangan Daerah Seremban, Tuan Haji Samsuri Majid iaitu mantan Pegawai Penerangan Tampin manakala Nor Jamal bekas Pegawai Penerangan Daerah Jelebu.
Ketika ditemui, ketiga-tiga bekas pesara yang dikunjungi melahirkan rasa gembira kerana tidak menyangka ziarah ini membolehkan mereka berjumpa semula dengan rakan-rakan lain yang berkhidmat di jabatan ini. Mereka berharap program sedemikian boleh dianjurkan pada masa akan datang.