Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanEkonomiHome

‘HIKMAH Exchange’ Galak Bumiputera Ceburi Hartanah

By 3 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Borhan Ahmad Ulis Foto: Abdul Hafiz Itam

KUCHING, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Penubuhan Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan kaum bumiputera dalam bidang hartanah di negeri ini adalah tepat pada masanya.

Perkara ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu kaum bumiputera agar tidak ketinggalan jauh dalam bidang hartanah.

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa melancarkan Projek Pembangunan HIKMAH Exchange di bekas tapak Binamara, petang tadi.

“Kita mahu membantu kaum bumiputera agar tidak kehilangan aset tanah yang dahulunya dimiliki oleh generasi pertama dan terpaksa dijual di pasaran terbuka oleh generasi seterusnya oleh sebab faktor ekonomi,” kata Najib.

Tambahnya, penghijrahan generasi kedua atau ketiga ke kawasan lain juga menjadi sebab aset tanah berkenaan dijual di pasaran terbuka.

“Seperti apa yang kita sedia maklum, jika aset-aset tersebut dijual di pasaran terbuka dengan nilai yang tinggi adalah mustahil bagi kaum bumiputera lain untuk memiliki aset tersebut.”

“Sebab itulah kita mewujudkan satu badan dana khas bagi membantu bumiputera terlibat secara langsung dalam bidang hartanah dan membolehkan mereka bersaing dengan kaum-kaum lain,” jelas Najib.

Najib menambah kerajaan persekutuan bersedia menghulurkan bantuan dari segi nasihat serta dana bagi menjamin keadilan sosial untuk kaum bumiputera dalam bidang hartanah di negeri ini.

Oleh sebab itu, Najib berharap kaum bumiputera di negeri ini saling membantu dan bersatu teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti membela nasib kaum bumiputera.

Terdahulu, calon BN bagi N.08 Satok, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata tapak bagi pembinaan kompleks baharu HIKMAH Exchange merupakan tapak asal bagi kaum bumiputera berniaga.

Tapak berkenaan yang dahulunya dikenali dengan Binamara diwujudkan bertujuan untuk menggalakkan kaum Bumiputera berniaga dan menambahkan hasil pendapatan mereka.

Setelah melalui peredaran zaman, kedai-kedai di tapak berkenaan banyak telah dijual oleh anak-anak peniaga asal atas sebab penghijrahan mahupun faktor kewangan.

“Kita tidak mahu perkara yang sama berulang kembali kepada kedai-kedai Bumiputera di Jalan Satok atau Jalan Haji Taha.”

“Sebab itulah Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak kita wujudkan untuk membantu para bumiputera yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang hartanah seterusnya mengekalkan nilai warisan di kawasan berkenaan,” tegas Abang Jo.

Kompleks HIKMAH Exchange merupakan pembangunan komersil yang terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu bangunan pejabat, pusat konvensyen dan juga ruang komersil.

Didirikan di atas sebidang tanah berkeluasan 3.65 ekar di Jalan Haji Taha, dua blok bangunan pejabat 13 tingkat mempunyai ruang pejabat yang dilengkapi dengan kemudahan 10 tingkat tempat letak kereta dan 12 buah lif.

Pusat Konvensyen pula mengandungi dewan bankuet yang mampu menampung seribu kapasiti.

Antara konsep lain bangunan termasuklah menara komunikasi berbentuk semula jadi yang menyerupai “Cokmar” simbol kepimpinan Melayu.

“Sky Garden” pula menempatkan ruang komersil seperti restoran, ruang majlis dan taman landskap. Yang menariknya, rekabentuk “Sky Garden” ialah cantuman beberapa helaian daun sirih yang melambangkan hubungan erat masyarakat majmuk di negeri ini.

 

-SF

Tinggalkan komen anda