Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanEkonomiHome

PM Lulus RM44.3 Juta Projek Sambungan Air Betong

By 3 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Genda Sating / Foto: Chua Sim Choon

BETONG, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan bersetuju meluluskan Projek Sambungan Bekalan  Air dari Simpang Kaki Wong ke Pusa, Beladin dan Betong bernilai RM44.3 juta yang mengambil masa 18 bulan dan dijangka siap pada November 2017.

Kerajaan turut meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menggantikan saluran batang paip yang lebih besar bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan ini.

Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Pusa semalam.

SK Pusa yang terletak di kawasan perkampungan nelayan siap dibina pada 2010 dengan kos RM21 juta. Sekolah tersebut mempunyai 18 bilik darjah dan digunakan sepenuhnya pada 2013 oleh seramai 433 pelajar.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa sebanyak 183 sekolah akan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bakal dibina di Sarawak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang. Daripada jumlah tersebut, kerajaan berharap dapat menyiapkan 20 hingga 30 buah sekolah.

Katanya, Kerajaan Pusat komited untuk membina sekolah baharu bagi menggantikan sekolah daif,  khususnya di kawasan luar bandar.

Justeru, kerajaan akan membina enam buah sekolah bagi fasa pertama, iaitu SK Semarong, SK Sungai Pinang, SK Kalok, SK Pulau Seduku, SMK Sebuyau dan SK Tambak.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata lebih banyak sekolah daif di negeri ini akan dinaik taraf dan disiapkan dalam masa yang lebih cepat menggunakan teknologi IBS.

Pada majlis tersebut Najib turut menyempurnakan penyampaian warta pemberitahuan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Bab 81) kepada empat buah kampung, iaitu Kampung Tuie Pusa, Kampung Medang Pusa, Sungai Undai Pusa  dan Ulu Dit Debak.

Beliau juga menyampaikan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 49 penerima yang ditawarkan lot kediaman di skim penempatan semula Kampung Kalok, Pusa, Betong.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda