Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Undi Awal: 72% Jalankan Tanggungjawab – Zahid

By 3 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol 

KUCHING, 3 Mei (Malaysiaaktif) –Sejumlah 72% daripada 24,604 pengundi awal yang terdiri daripada  anggota keselamatan serta pasangan masing-masing menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, peratusan berkenaan agak berkurangan disebabkan ada dalam kalangan mereka yang bertugas semasa proses membuang undi hari ini.

“Saya memantau dari jauh pengundian awal, saya dapat tahu ada yang bertugas semasa waktu pengundian dan insya-Allah mereka akan pulang untuk mengundi.

“Ada juga yang telah bersara atau berpindah tugas. Jadi saya fikir, pada keseluruhannya ialah satu trend yang baik,” ujar Zahid ketika ditemui media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) petang tadi.

Zahid juga berkata, tidak ada sebarang insiden yang berlaku sepanjang proses pengundian dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, sehingga Isnin, 86 laporan iterima oleh pihak polis dan beberapa siasatan dibuka dan tindakan  diambil.

Diminta mengulas isu rundingan bersama Brunei, berkenaan pengurangan prosedur pintu masuk kedua-dua negara, Zahid berkata kini, pelancong Malaysia ke Brunei atau rakyat Malaysia dari Limbang ke Lawas terpaksa melalui enam kali ‘check point’ dan 12 kali pengecopan.

“Pada dasarnya kerjasama ini telah dipersetujui ketika mesyuarat dua hala (bilateral) antara Malaysia dengan Brunei, walau bagaimanapun dari segi operasinya masih belum dapat dilaksanakan kerana terdapat beberapa aspek teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu dan atas semangat ASEAN hal ini akan disegerakan”.

Terdahulu, Zahid melawat dan beramah mesra dengan petugas media dengan diiringi Menteri KKMM, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman.

 

– SF/AAS

 

Tinggalkan komen anda