Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

iFaTIIC 2016 – Politeknik KK Raih Dua Emas

By 22 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Inovasi makanan oleh pelajar Politeknik Kota Kinabalu (KK) merangkul dua Anugerah Emas sempena Pertandingan International Food and Tourism Innovation, Invention & Creativity (iFaTIIC) 2016 yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam baru-baru ini.

Politeknik KK yang diwakili oleh dua kumpulan pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti itu mempertaruhkan produk kesihatan ‘Detox & Healthy Drink Daun Belalai Gajah (Sabah Snake Grass) hasil inovasi Shariffah Nur Athierrah Sharif Abdul Ghani dan Constantine Benedict.

 

 

Sementara itu, produk Instant Ambuyat merupakan hasil inovasi Tan Jun Kang dan Rayner Lawrence. Kedua-dua produk tersebut meraih pingat emas bagi kategori inovasi dan reka cipta.

Menurut pensyarah penyelia dan ketua kumpulan Politeknik KK, Nor Huda Md. Asri, produk-produk yang dipertandingkan mempunyai latar belakang menarik.

“Inovasi Detox & Healthy Drink (Sabah Snake Grass) terhasil setelah dicuba salah seorang ahli kumpulan yang pernah menghidap penyakit ketumbuhan dalam perut sambil menyatakan ketumbuhan dialaminya semakin kecil seterusnya menghilang apabila mengambil minuman tersebut.

“Produk tersebut diinovasikan untuk membantu masyarakat dari segi kesihatan. Produk ini turut memperoleh Anugerah  Emas bagi Program Sabah Hospitality Art and Food Innovation Exhibition (SHAFIEX 2016) dan Anugerah Perak bagi Program Pameran Projek Pelajar dan  Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (PROJEX’12) yang diadakan Mac lalu.

 

polikk2

 

“Instant Ambuyat pula diinovasikan daripada makanan tradisional Borneo di Brunei, Sabah dan Sarawak. Produk ini adalah untuk meningkatkan nilai makanan tradisi Borneo di samping menghasilkan makanan segera yang sihat kepada masyarakat. Pengguna dapat menikmati Instant Ambuyat bersama sos asam pedas yang telah lengkap dipakejkan,” tambah Nor Huda.

Produk yang sedang dipatenkan ini, pernah mendapat Anugerah Emas, tempat kedua (kategori bukan kejuruteraan) sempena PROJEX-12, tempat ketiga dan Anugerah Perak sempena SHAFIEX 2016 yang lalu.

Sebanyak 117 kumpulan terdiri daripada institusi pengajian dan syarikat swasta dari dalam dan luar negara menyertai pertandingan dua hari tersebut, termasuk UiTM, Kolej Komuniti Kuantan, Institut Kemahiran Belia Negara Kemasik Terengganu, Andalas University Padang Indonesia, dan D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd.

Program sulung anjuran Fakulti Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam ini yang bertemakan “Pembudayaan Inovasi, Reka Cipta dan Kreativiti dalam Makanan dan Pelancongan” ini diadakan untuk memupuk inovasi, ciptaan dan budaya kreativiti dalam kalangan pelajar dan penyelidik.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ernieyati Samsudin.

 

-SF

Tinggalkan komen anda