
Oleh : Muhammad Rizal b Redzuan
PUTRAJAYA, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 26 orang bekas pegawai di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang bersara bermula April 2015 hingga April 2016 di satukan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna B1, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Apa yang menariknya ialah, ke semua 26 orang ini ditemukan kembali bersama lebih 200 orang para pesara JaPen yang telah lama bersara termasuklah bekas Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarahnya.
Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Dato’ Haji Ibrahim bin Abdul Rahman, juga dihadiri oleh bekas Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Drs. Sulaimen Mohamed.
Di dalam ucapan perasmiannya, Ibrahim telah memberikan satu fakta yang amat mengejudkan dengan penemuan manuskrip lama di London. Menurut manuskrip tersebut, Jabatan Penerangan Malaysia telah diwujudkan mulai pada 1 Oktober 1910 dengan nama Malaysiaan Information Agency. Ia kemudiannya diubah nama kepada Malay State Information Agency di Trafalgar Square, London. Ini bermakna, Jabatan telah wujud selama 106 tahun.
Majlis ini diadakan sebagai meraikan jasa, sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada perkhidmatan awam dan Negara.
Ibrahim, yang memulakan ucapan dengan mengajak hadirin membaca Al Fatihah dan berdoa untuk bekas Ketua Pengarah JaPen, Datuk Abas Saleh dan Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon.
Katanya lagi, ini adalah satu platform penting untuk pegawai yang bersara dan yang masih berkhidmat, bersama mengembeleng tenaga memajukan pemasaran maklumat negara.
Selain, memberikan penghormatan, penghargaan dan kenangan serta mengeratkan silaturahim sesama pesara JaPen yang lama dan baru, program ini juga dapat menjadi salah satu platform untuk menyebar luas maklumat terkini Kerajaan dalam kalangan pesara JaPen atau dikenali sebagai Rakan Strategik.
Di dalam majlis ini, bekas Timbalan Ketua Pengarah JaPen, Datuk Jamilah Mohd Shahid, mengucapkan terima kasih dan tahniah atas inisiatif mencari semula rakan strategik.
Jamilah berkata, cabaran kepada pegawai baru dalam dunia tanpa sempadan adalah dalam pengurusan persepsi dan isu.
Turut hadir di dalam program ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) Dato’ Mohd Sukari bin Ab Hamid, dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Haji Almain bin Ajirul.