Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Komunikasi Berkesan Penting untuk Berubah-Hasidah

By 27 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh:  Mussliha Malihi & Foto: Cassidy Lisut (Sarawak)

KUCHING, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Kemahiran berkomunikasi berkesan penting bagi membawa rakyat berfikir untuk melakukan perubahan dan membuang tabiat suka memundurkan diri dengan sifat kebiasaan, tanpa mengenepikan sensitiviti sesetengah pihak.

Pertandingan pidato bertemakan “Sehati Sejiwa”, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan ini mampu membantu memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dan meningkatkan kefahaman orang ramai tentang dasar-dasar negara melalui pidato.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata demikian semasa Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2016 di Auditorium Pustaka Sarawak semalam.

“Dengan adanya platform ini, golongan muda negara akan lebih berani bersuara untuk menyatakan pandangan masing-masing terhadap pembangunan negara seterusnya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan” ujarnya.

“Peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan amat penting dalam memupuk perpaduan selain membina negara bangsa Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan bahasa,” kata Hasidah yang hadir mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.

Tambahnya, penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah mendekatkan perpaduan antara kaum di negara kita tanpa menjejaskan bahasa ibunda kaum-kaum yang lain kerana orang bukan Melayu juga bebas untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kepetahan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia hari ini sememangnya wajar dikembangkan melalui program-program berbentuk ilmiah.

“Hal ini membuktikan bahawa rakyat negara ini berpengetahuan luas dalam melontarkan manifestasi bernas menerusi kupasan terhadap dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa negara melalui saluran yang tepat,” katanya lagi.A

Pertandingan pidato kali ke-enam ini disertai tujuh pemidato dari Kuching/Samarahan, Sri Aman/Betong, Sarikei, Sibu/Mukah, Kapit, Miri/Bintulu, dan Limbang.

Pada majlis tersebut, Sharizan Sarbini wakil Sri Aman/Betong telah dinobatkan sebagai juara dengan tajuk Kemerdekaan Membina Ketamadunan Bangsa.

Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1,500, diikuti naib juara Khalid Husseine Tuah RM 1,000 dan tempat ketiga Martin Dinil RM 500 berserta piala dan sijil penyertaan.

Sharizan akan mewakili Sarawak ke pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Kedah pada Julai 2016.

SF

 

 

 

Tinggalkan komen anda