Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangorViral

5 Jun Tarikh Penamaan Calon-Hashim

By 3 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Muhammad Rizal Redzuan

PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim  Abdullah hari ini mengumumkan menerusi siaran medianya, Hari Penamaan Calon bagi kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) ditetapkan pada Ahad 5 Jun 2016.

Menurut Hashim, Kertas Penamaan Calon boleh dikemukakan bermula 9.00 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar bagi Calon Parlimen P.067, manakala bagi Calon Parlimen P.093 di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar Selangor.

Tambahnya, penyokong parti atau penyokong calon diminta untuk tidak hadir berkumpul dalam jumlah yang ramai di Pusat Penamaan Calon.

“Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pula memperuntukkan perkara yang tidak boleh dilakukan semasa Hari Penamaan Calon, seperti membekalkan alat muzik atau menggunakannya sendiri  bagi tujuan politik dengan apa-apa cara atau digunakan di dalam atau di luar vesel, binatang atau apa-apa kenderaan, menunggu atau berdiri dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

“Jika melanggar peruntukan boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebih RM3,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya,” ujarnya.

Sementara itu, kempen pilihan raya hanya bermula selepas pengisytiharan oleh Pegawai Pengurus pada 5 Jun 2016 dan berakhir pada 12.00 tengah malam, 17 Jun 2016.

SPR turut  menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PKR) selaras dengan Seksyen 27B Akta 5 yang berfungsi membuat rondaan, menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta 5, dan meminta polis untuk memberhentikan ceramah yang tidak mendapat permit.

 

-DK/AAS
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda