Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

[KEMASKINI] Pengundi Harap Calon Jangan Lupa Rakyat

By 3 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aimi Huwaina (Putrajaya) / Foto: Diyana Zamri

KUALA KANGSAR, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Penduduk Kuala Kangsar mahukan agar calon-calon yang bakal bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen di sini dapat menawarkan apa yang mereka harapkan.

Menurut seorang peniaga, Rosli Abdul Halim, 53, dalam  negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh dan mempunyai hak untuk bertanding.

“Yang penting, rakyat memikirkan apa yang mereka dapat melalui pencalonan calon-calon yang bertanding. Apa yang dia boleh tawarkan, apa yang dia nak berikan kepada rakyat – itulah yang rakyat mahu.”

IMG_0473-e1464936060923

Rosli Abdul Halim: Duduklah bawah sama-sama rakyat.

“Rakyat mahu apabila mencapai kemenangan, janganlah duduk di atas, duduk bawahlah sama-sama bersama rakyat. Jadi, yang penting apabila ada kemenangan, maknanya, bantu rakyat,” tegas Rosli lagi.

Harapan yang sama dikongsi oleh Norhayati Alang Othman yang sudah lebih 30 tahun berniaga di Kuala Kangsar. Beliau menyambut baik kehadiran apa yang disifatkannya sebagai orang-orang baharu dalam politik, tetapi dengan peringatan bahawa rakyat perlu diutamakan.

“Siapa-siapa yang naik, kita minta mereka ingat siapa yang memangkah mereka. Berilah bantuan kepada rakyat. Seperti kami peniaga-peniaga yang memerlukan modal, tolonglah beri bantuan atau pinjaman,” ujarnya.

Setakat ini, PRK Kuala Kangsar bakal menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, dan calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail turut menyatakan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimennya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu.

 

-DZ/ AAS

Tinggalkan komen anda