Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

95% Mengundi Di Sekinchan, 68% Sg Besar Hingga 10 Pagi

By 14 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapha

SUNGAI BESAR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Sehingga 10.00 pagi, peratusan anggota polis yang turun mengundi di Sekinchan mencecah 95 peratus, manakala di Sungai Besar 68 peratus.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, pengundian awal yang sedang berlangsung adalah untuk anggota polis dan pasangan.

Seramai 286 orang di kawasan parlimen Sungai Besar berdaftar dan layak mengundi awal sehingga pukul 2.00 petang di Sekinchan dan pukul 5.00 petang di Sungai Panjang dengan 21 pengundi di Sekinchan dan 265 di Sungai Panjang.

“Peti undi akan ditempatkan di dalam lokap di Balai Polis Sekinchan. Keadaan kertas undi dijamin selamat  kerana ditempatkan di balai polis yang selesa dan lengkap dengan kemudahan.

“Keputusan akan diumumkan pada 18 Jun seperti yang telah diwartakan, iaitu selepas pukul 4.00 petang,” ujar Hashim.

Sementara itu, Hashim turut meminta pihak-pihak yang memasang papan iklan ‘Jom Balik Undi’ melibatkan pihak luar yang bukan calon di jalan menuju Sungai Besar menurunkannya segera.

“Ada parti yang sengaja mengambil kesempatan. Kita mengharapkan oleh sebab tinggal empat hari lagi semua parti politik mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Sebaik-baiknya mereka yang terlibat yang menurunkan sendiri papan iklan tersebut. Jawatan kuasa petugas PRK memang ada kuasa untuk menurunkan setiap papan iklan yang melanggar peraturan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernak pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Strategik, SPR, Juhari Abdul Rahman berkata walaupun cuaca panas anggota polis yang dilihat perlu beratur panjang merupakan perkara biasa bagi mereka.

“Mereka ini dah biasa berkawad, berjemur tengah panas. Walaupun berpuasa, mereka dah biasa,” tambahnya.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda