
Oleh Muhammad Rizal Redzuan
SUNGAI BESAR, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan tiada hak menurunkan mana-mana poster, papan tanda dan bahan kempen yang lain sekiranya tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya seperti menaikkan bahan kempen berunsur provokasi seperti perkauman, propaganda melampau dan penggunaan bahasa kesat.
Demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam pagi tadi.
Hashim berkata, Majlis Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan ialah ahli kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh agen-agen calon yang bertanding. Meraka sepatutnya menjalankan tugas dengan jujur dan tidak memihak kepada sesiapa.
Hashim mengulas berita Malaysiaaktif pada 8 Jun lalu berkaitan sepasukan penguat kuasa yang menaiki van berlogo Kerajaan Negeri Selangor mencantas poster-poster kempen Barisan Nasional dengan sebilah parang panjang di simpang empat jalan belakang Balai Polis Sungai Besar menghala ke Shahjehan Homestay.
“SPR telah menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan teratur.
“Mereka sepatutnya tahu apa yang patut dibuang dan apa yang tidak patut dibuang dan bukannya mereka yang mencetuskan provokasi,” katanya lagi.
Cuma, beliau agak kesal kerana tiada aduan kepada SPR dibuat berkaitan perkara ini.
Terdahulu, Hashim menegur pihak yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.093 Sungai Besar turut memasang poster pilihan raya “Jom Balik Undi”.
Hashim meminta mana-mana pihak yang tidak bertanding atau tidak mendaftarkan logo parti dengan SPR agar tidak sekali-kali menaikkan poster, bendera atau papan tanda mereka.
“PP-KPR diwujudkan bagi memastikan semua medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan permuafakatan masyarakat,” ujarnya lagi.