Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

IADA Gigih Tingkatkan Pendapatan Pesawah

By 12 Jun 2016Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI BESAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Enam hari lepas, genapnya 38 tahun kewujudan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Barat Laut Selangor (IADP), projek ini telah dilancarkan pada 6 Jun 1978.

IADA Barat Laut Selangor meliputi kawasan pertanian seluas 100,000 hektar merangkumi daerah  Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Berdasarkan banci penduduk tahun 2010 jumlah penduduk di kawasan ini terdiri daripada 72% Melayu, 13% Cina, 11% India dan 4% Lain-lain.

Dari segi taburan pesawah mengikut kaum pula, orang Melayu bertumpu dia kawasan Sungai Panjang, Sungai Leman dan Pasir Panjang. Manakala kaum Cina bertumpu di Sekinchan dan India di Sungai Burong.

Pada tahun 1977, kadar kemiskinan di kawasan ini amat tinggi iaitu 67%. Justeru, kawasan ini dipilih untuk projek pembangunan selain mempunyai kawasan pertanian yang luas.

IMG-20160611-WA0013

Lebih 10,000 pesawah yang mengusahakan sawah padi di lapan Blok Pengairan dalam kawasan IADA dengan purata ahli seramai lima orang setiap blok. Ini satu keistimewaan penduduk di sini, semuanya dibuat secara berkumpulan dalam komuniti sama ada bersawah, membina homestay, membuat hotel, membuat kuih, kenduri-kendara, menangkap ikan dan sebagainya.

Ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, situasi ini dikenali sebagai “gejubus” dalam bahasa tempatan yang membawa maksud gotong-royong dan kerjasama. Keadaan ini memudahkan projek-projek seperti IADA ditadbir dan diuruskan oleh kerajaan.

Menurut Pegawai Pertanian Sungai Besar, Syaliza Hanem Zakaria, IADA membuat pengkhususan dalam pembangunan padi dan infrastruktur kawasan sawah.

IMG-20160611-WA0002

“Membantu dari segi infra, penanaman dan pembangunan padi, input-input pertanian seperti baja, racun terkawal dan benih padi secara percuma kepada pesawah melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pendek kata, segala aspek berkaitan penanaman padi termasuk kawalan penyakit dan perosak seperti siput dan bakteria hawa daun juga merupakan tanggungjawab IADA.

“IADA Barat laut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, pengaliran dan saliran yang melibatkan jurutera dan pembangunan infra. Bahagian ini membuat kajian dan membina palong, parit, dan saliran bagi memastikan pesawah mendapat air secukupnya pada kadar dan masa yang betul.

“Bahagian ini juga bertanggungjawab membina terusan utama, terusan kedua, palong (terusan ketiga), jalan ladang, parit, ban, jambatan atau pembentung, struktur kawalan, terusan, palong konkrit, kolam dan kunci-kunci air di seluruh kawasan penanaman padi,” ujarnya.

Sementara itu, Bahagian Pertanian untuk pembangunan tanaman dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menguruskan kebajikan dan subsidi petani.

Melalui Rancangan Malaysia ke-11, IADA menumpukan perhatian di kawasan-kawasan padi berhasil rendah di Sungai Besar berbanding kawasan jirannya seperti Sekinchan dan Sungai Leman.

IADA akan membuat penyelidikan menyeluruh untuk mencari dan menambah baik infrastruktur, penggunaan baja, dan sistem pengairan untuk menaikkan penghasilan padi di Sungai Besar.

Setelah pelbagai usaha dibuat dah masih diteruskan penyelidikannya, kawasan yang rendah hasilnya telah mula menunjukkan peningkatan seperti kawasan lot yang paling rendah berjaya menghasilkan sehingga lima tan padi semusim. Satu lot melibatkan kawasan seluas tiga ekar atau 1.2 hektar.

Faktor cuaca, saliran dan petani agak kurang agresif antara punca penghasilan padi di sini rendah berbanding Sekinchan dan Kuala Selangor.

Musim penanaman di Sungai Besar sering bertembung dengan keadaan cuaca yang kurang baik.

Menyentuh aspek jadual penanaman ini tidak ditukar memandangkan sering bertembung musim yang tidak sesuai.

“Jadual ini telah ditetapkan dan tidak boleh diubah. Jika diubah jadual ini, tempat lain pula akan berhadapan dengan masalah yang sama. Justeru, satu kaedah sedang dicari untuk menyelesaikan masalah ini kerana melibatkan pelbagai aspek termasuk pengaliran.

“Buat masa ini penyelidikan sedang giat dijalankan untuk menambahkan jumlah penanaman daripada dua kali setahun kepada lima kali dua tahun.

“Pada tahun ini, petani padi di Sungai Besar terpaksa menerima hakikat padi mereka terpaksa dituai selepas Hari Raya Aidilfitri kerana kelewatan air dilepaskan ke sawah. Rakan-rakan mereka di Sekinchan dapat menarik nafas lega kerana tuaian dapat dilakukan sebelum menjelangnya Aidilfitri,” ujar Syaliza.

Desas-desus yang mengatakan kerajaan mengarahkan agar jumlah timbangan padi mesti dipotong 20% daripada timbangan juga tidak benar menurut Syaliza.

“Ini kerana kerajaan mempunyai alat khas bagi menilai hampa dan padi basah. Buktinya bukan semua tempat dipotong sehingga 20%, ada tempat yang dipotong hanya 15%, justeru dakwaan kerajaan menaikkan kadar potongan apabila menambah subsidi RM50 adalah tidak benar.

 Menurut Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Mohd Naser Harun, tanah,  sistem perparitan, penggunaan baja dan racun di Kedah dan Perlis berbeza dengan Selangor.

“Ini antara faktor hasil padi di Selangor lebih tinggi berbanding negeri lain. Selain itu, IADA juga sering mengadakan kursus-kursus yang mewajibkan petani untuk hadir dalam memastikan petani menggunakan sistem dan proses yang ditetapkan kerajaan termasuklah penggunaan baja, tatacara penanaman, kawalan air, penuaian, pembajakan dan ketepatan masa untuk memastikan hasil yang paling maksimum,” ujarnya.

Menurut seorang pesawah di Sungai Besar, Mohd Masdan Ahmad, 58, persepsi orang ramai selama ini bahawa hasil padi di Selangor per hektar lebih tinggi dari negeri lain adalah tidak berapa tepat.

“Ukuran lot tanaman di Sabak Bernam tidak sama dengan negeri lain. Di Kedah misalnya, kebiasaannya hasil padi dikira berdasarkan relung. Sebagai contoh, satu relung dua tan padi semusim. Di Sabak Bernam, hasil padi dikira berdasarkan lot, satu lot bersamaan 1.2 hektar atau pun hampir empat relung. Jika satu lot di Sabak Bernam hasilnya 8 tan semusim sama sebenarnya dengan hasil empat relung bendang di Kedah. Malah di sini puratanya hanya menhasilkan sekitar enam hingga tujuh tan padi semusim,” ujarnya.

Tambahnya, petani di sini bertuah kerana mendapat bantuan penuh daripada kerajaan pusat dalam setiap aktiviti tanaman padi. Bantuan yang diperolehnya merupakan bantuan membajak sebanyak RM120 per hektar, bantuan racun sebanyak RM240 per hektar, baja organik, perparitan dan lain-lain.

-SF

Tinggalkan komen anda