
Oleh Sharman a/l Subramaniam
SUNGAI BESAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Bantuan sara hidup sebanyak RM300 dan insurans nyawa diberikan kepada golongan nelayan kerana berhadapan risiko bahaya apabila berada di laut.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata demikian ketika merasmikan Program Keselamatan dan Kesejahteraan Nelayan Pantai anjuran Jabatan Perikanan Malaysia di Jeti Bagan Sungai Besar, hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga mengenakan lesen kepada nelayan bagi mengawal penangkapan ikan mengikut kategori bot.
“Pada masa sama kerajaan ingin menjaga kebajikan nelayan yang memiliki bot jenis ‘A’ supaya dapat mencari hasil di pesisir pantai,” katanya lagi.
Beliau turut mengumumkan 17 lesen nelayan telah diluluskan pada hari ini.
Shabery berkata kerajaan menerima banyak laporan berkenaan pencerobohan bot yang tidak mengikut sempadan penangkapan ikan yang ditetapkan dan sedar akan jaringan telekomunikasi tidak jelas apabila bot melepasi lima batu nautika.
Sehubungan itu, kerajaan menyumbangkan sebanyak 100 set walkie talkie kepada mereka bagi tujuan komunikasi dan membantu pihak penguat kuasa untuk dengan melaporkan bot yang tidak mengikut syarat melalui gelombang radio nelayan. Juga disampaikan, sumbangan jaket keselamatan kepada nelayan.
Sementara itu, beliau membias tindakan kerajaan negeri (LUAS) mengenakan cukai terhadap penggunaan jeti di negeri Selangor.
“Kita tidak mahu kasi nelayan marah, kita mahu sayang nelayan,” katanya.
Pada majlis sama, Shabery merasmikan Radio Nelayan, menyempurnakan pemberian bot kepada 22 nelayan dan pemberian kit pertolongan cemas.