
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA KANGSAR, 5 Jun (Malaysiaaktif) – Hampir semua jalan raya di sekitar Bandar Diraja ini sesak dengan kenderaan sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak.
Ketenangan seawal pukul 7.00 pagi yang bertukar menjadi sibuk memaksa penduduk, pengamal media, pegawai bertugas dan penyokong parti memilih untuk berjalan kaki ke destinasi masing-masing.
Namun demikian, keadaan masih terkawal apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menutup beberapa jalan utama menghala ke pusat penamaan calon.
Antara sebab berlaku kesesakan kerana beberapa buah kenderaan diletakkan di bahu jalan bertentangan dengan arus trafik hingga laluan menjadi sempit dan menyukarkan kenderaan keluar masuk di beberapa jalan utama di sekitar bandar ini.