Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeRencana & PendapatSelangorViral

Nasi Ambeng Bontrok Sg. Besar ‘Bukti’ Suami Jujur

By 15 Jun 2016Oktober 5th, 2016Tiada komen4 minit bacaan

 

 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

SUNGAI BESAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Nasi ambeng bontrok (bungkus) dalam kalangan masyarakat Jawa di sini dijadikan salah satu kaedah oleh para isteri untuk menilai kejujuran seorang suami.

Demikian kata Sazali Senan, 53, yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra Ramadan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Salleh Said Keruak di Kampung Baru Parit 5 Sekinchan di sini pada Ahad.

“Apabila isteri bertanya suami ke mana, jika balik kenduri kalau tiada nasi ambeng bermaksud suami menipu. Jadi inilah satu strategi yang digunakan oleh para isteri di sini untuk mengetahui pergerakan suami,” tambahnya.

Bagi kakitangan kerajaan. Fadzlysham Ahmad, 35 yang telah berhijrah ke Sungai Besar sejak 2004 nasi ambeng dilihat sebagai makanan tradisi yang menggambarkan sunnah Rasullulah.

“Sebagai orang luar, nasi ambeng ini ibarat amalan sunnah Rasullullah. Kita makan secara beramai-ramai dan dapat eratkan ukhwah. Orang sini bukan habiskan semua nasi pada masa yang sama. Mereka makan sedikit kemudian bungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

 

Screenshot_2016-06-13-12-07-04

Nasi ambeng dilihat sebagai makanan tradisi yang menggambarkan sunnah Rasullulah.

 

“Kalau makan dalam talam, memang meriah. Kalau kat kedai-kedai ada juga dijual tapi tiadalah istilah makan berjemaah,” tambahnya.

Fazlisham juga berpendapat bukan semua yang menyukai nasi ambeng ini disebab kebersihan dan ketiadaan makanan berkuah.

“Saya perhatikan masyarakat luar ada juga yang tidak gemar akan nasi ambeng. Ada yang kata makan dalam talam beramai-ramai maka kebersihan diragui. Ada juga yang mahukan sup, tapi nasi ambeng biasanya banyak lauk yang digoreng. Terpulang kepada selera masing-masing,” ujarnya lagi.

 

20160612_175111

Ketua Rewang Masak Perempuan, Siti Saiyah Sadikin

 

Sementara itu, bagi Ketua Rewang Masak Perempuan, Siti Saiyah Sadikin, 50, yang turut ditemui pada majlis berbuka bersama Menteri KKMM tidak menafikan nasi ambeng sebagai makanan warisan tradisi masyarakat Jawa yang sememangnya popular di Malaysia. 

“Biasanya nasi ambeng di sini disediakan untuk kenduri malam. Setiap set nasi ambeng dihidangkan dalam dulang bersama serunding, sambal, mi goreng, ayam goreng yang boleh dimakan antara empat  hingga enam orang

“Konsepnya makanan akan dibahagi empat. Makan dahulu dan selebihnya akan dibungkus bersama daun pisang untuk dibawa balik ke rumah masing-masing.

“Penyediaan nasi ambeng dimulakan dengan daun pisang yang dialas di atas talam kemudiannya diletakkan nasi putih diikuti dengan sehelai lapisan daun pisang seterusnya lauk-pauk dihidang tersusun di atasnya.

Screenshot_2016-06-13-12-05-56

Proses penyediaan nasi ambeng

 

“Untuk majlis Menteri KKMM kami buat khas untuknya menu yang tak pedas selain turut menyediakan  50 set nasi ambeng yang boleh dijamah sehingga 300 orang,” ujarnya.

Siti yang berbangsa Jawa Selangor turut mengakui nasi ambeng ini perlu masa yang lama untuk belajar kerana resipinya yang turun-temurun.

“Resipi ini dipelajari daripada keturunan orang dulu-dulu, yang diajar oleh nenek saya yang berasal dari seberang. Lebih 10 tahun juga saya belajar.

“Berkenaan kos pula memang agak tinggi. Ayam, serunding, kelapa sayur, dan tauhu kering perlu dibeli. Anggaran orang luar beli satu set nasi ambeng dalam RM50.

Nasi ambeng juga dikatakan sebagai salah satu aktiviti rewang (gotong-royong) bagi masyarakat Jawa di sini.

“Satu kelebihan kerana kami di sini mengamalkan konsep rewang. Sejumlah 20 orang jiran tetangga turun sama sejak Sabtu bagi membuat serunding, menggoreng kentang dan ikan bilis. Pagi Ahad pula kami buat sambal goreng ayam goreng dan nasi.

“Rewang ni mudah. Walaupun ramai, setiap orang main peranan masing-masing bagi memudahkan kerja. Satu orang goreng tauhu kering, satu orang goreng ikan bilis, kentang dan lain-lain. Maknanya semua ada kerja. Nanti dah siap ada seorang akan masak sampai siap.

 

BFA8339E-9483-489A-BA86-52FA281B379C

Datuk Ibrahim Abdul Rahman bersama Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad turut turun padang

 

 “Selain nasi ambeng, kami juga menyediakan bubur kacang untuk dihantar ke surau, kuih-muih dan bubur lambuk. Ada bubur lambuk yang diedarkan ke bazar Ramadan dan disedekah kepada orang sini yang datang nak berbuka puasa. Kami masak empat periuk, satu periuk dapat dalam 200 pek.

“Di sini kami biasa lebihkan sayur, campur isi ayam, lada putih dan santan. Empat hingga lima jam diambil untuk menghancurkan beras sejak pagi tadi (semalam),” ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, menu nasi ambeng yang disediakan di sini cukup unik. Nilai harmoni dalam kalangan masyarakat sini dapat dilihat ketika makan nasi ambeng dalam talam secara beramai-ramai.  

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda