Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Nizar Mohon Maaf, Mastura Maafkan

By 10 Jun 2016Jun 11th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memohon maaf kepada keluarga mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di atas kenyataan “pembalasan Tuhan”nya pada ceramah Amanah baru-baru ini.

“Sebagai seorang bapa dan suami, saya menyusun jari memohon maaf dengan penuh rendah diri kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga arwah, serta kepimpinan parti bahagian, negeri dan pusat,” kata Nizar melalui kenyataan media.

Tambahnya, dia tidak berniat untuk menghina atau membuat andaian negatif kepada mana-mana pihak terutamanya keluarga Allahyarham Wan Mohammad Khair-il namun menyalahkan media cetak dan media sosial kerana menyalah petik ucapannya sehingga terpesong daripada konteks sebenar.

“Namun, laporan media sosial keesokannya yang telah sengaja membuat telahan, tohmahan dan andaian yang salah serta jauh terbabas dari maksud sebenar,” ujar Nizar.

Pada 6 Jun lalu, Nizar telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar kali ini merupakan satu ‘petunjuk Tuhan’ yang mahu memberikan pembalasan di atas kezaliman Barisan Nasional (BN) ketika berceramah di Sayong Lembah.

Sejak itu, bekas Menteri Besar Perak itu telah menerima pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak, baik dari luar mahupun dalam partinya sendiri serta orang awam atas kenyataannya yang disifatkan sebagai tidak sensitif.

Sementara itu, balu Allahyarham Wan Mohammad Khair-il, semalam menyatakan kesediaannya memaafkan Nizar ketika sidang media khas di kediamannya di Bukit Chandan.

“Sebagai seorang manusia biasa, saya, seperti juga saudara-saudari sekalian, semestinya perkataan-perkataan seperti itu mengguriskan hati saya dan anak-anak. Tapi, saya maafkan YB Datuk Seri Nizar sebab saya percaya Allah Taala akan menunjukkan kebenaran yang sebenarnya kepada kita semua,” jelas Mastura.

Tinggalkan komen anda