
Oleh Muhammad Rizal Redzuan
SUNGAI BESAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Setelah tiga hari Ramadan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Zahida Zarik Khan berkata, dia dan dan ahli-ahli Puteri UMNO yang lain seperti diberi satu kekuatan luar biasa untuk menjalankan kempen bagi membantu jentera Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar ini.
Ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebentar tadi, Zahida berkata PRK kali ini dapat memberikan tambahan pendapatan kepada penduduk setempat kerana semua rumah inap milik orang kampung habis disewa.
“Gerai makanan, kerepek, dan kuih-muih yang menjadi jualan penduduk kampung juga berlipat kali ganda jualannya selain pengusaha caterer makanan yang mendapat tempahan sehingga tak mampu menerima tempahan.”
Menurut Zahida lagi, banyak pusat dobi yang meletakkan tanda “PENUH” di hadapan kedai dobi mereka kerana tidak mampu mengambil tempahan cucian dan seterika yang terlalu banyak.
Zahida juga berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa perusahaan dan pengusaha industri kecil, seperti kerepek dan kuih-muih yang boleh diketengahkan dan wajar diberikan bantuan untuk memperkembang perusahaan dan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada mereka.
Terdahulu ketika ditanya tentang strategi kempen Puteri UMNO Malaysia, Zahida berkata dia lebih yakin dengan pendekatan bersemuka dan membuat sentuhan fizikal dengan pengundi seperti bersalaman daripada berharap kepada media sosial sahaja.