Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

SABATI Sumbang RM10 Ribu kepada ATM

By 22 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Aishah Latip /Foto: Mahmud Sulaiman

KUCHING, 22 Jun (Malaysiaktif) – “SABATI menyokong penuh program ini kerana menghargai jasa Anggota Tentera Malaysia (ATM) melalui Sumbangsih Kuih Raya yang tiada bandingnya dengan pengorbanan perwira negara yang selama ini menjaga keselamatan, keamanan dan kestabilan politik negara terutamanya di Sarawak“.

Demikian kata Presiden Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI), Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu ketika menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada warga ATM pada Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya di Dewan Bukavu, Kem Penrisse, pagi tadi.

Tambahnya, penghargaan Kerajaan Negeri Sarawak terhadap komitmen pasukan keselamatan tentera tidak pernah dilupakan setiap kali tibanya perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri kerana jasa dan pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus dalam menjaga keselamatan negara.

“Malah anggota ATM turut terlibat dalam pelbagai usaha lain bersama rakyat seperti kejadian bencana alam, program Jiwa Murni dan National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berteraskan membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan,“ ujarnya.

Jamilah  yang juga Isteri Ketua Menteri berharap agar program murni ini dapat diteruskan sebagai simbol menghargai anggota keselamatan yang menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Terdahulu Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata objektif penganjuran majlis ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap komitmen pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Majlis ini merupakan siri pertama bagi penyerahan 2,700 bungkusan Sumbangsih Kuih Raya anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak kepada warga ATM.

Terdapat enam siri Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya yang diadakan pada tahun ini yang akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara Negeri Sarawak.

Secara keseluruhannya, terdapat 6,500 bungkusan yang akan diserahkan kepada pasukan keselamatan negeri Sarawak yang bakal bertugas pada Hari Raya Aidilfitri kelak.

Antara kuih raya yang diagihkan ialah kek hati parek, biskut rock, serunding, kuih siput, dan sagu kombo.

Manakala lapan pertubuhan wanita (NGO) yang terlibat dengan penyediaan kuih dan biskut raya ialah Pergerakan Wanita PBB Wanita N.7 Samariang, PERKIM Wanita Cawangan Dalat/Oya, Dewanita DUBS Negeri, Persatuan Ibu Tunggal (PITSA), Koperasi Wanita Bhd (KOWASA), Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak dan Helwa HIKMAH.

SF

Tinggalkan komen anda