Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 1000 orang pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) semalam berkunjung ke inisiatif Pasar Bebas (Free Market) yang berkonsepkan menderma dan mendapatkan barang secara percuma.
Timbalan Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Staf PMM, Zan Aizuwan Zainal Abidin berkata, program yang julung kali diadakan ini dirancang selama sebulan dan bertujuan membantu pelajar yang terdiri daripada anak yatim serta staf PMM yang asnaf.
“Kami mendapat banyak sumbangan berbentuk pakaian, kasut, beg, majalah dan kelengkapan dapur daripada staf PMM sendiri juga daripada bekas pelajar,” katanya.
Tambahnya, seramai 42 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar turut membantu untuk melipat, membuat label dan mengasingkan barangan bagi memudahkan orang ramai memilih apa yang perlu.
Pekerja Kontrak, Mohd Salim Ten Abdullah, 52, berpendapat inisiatif ini baik kerana dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya mengambil banyak pakaian tadi untuk diberikan kepada jiran, sebab saya tengok mereka bukan orang senang dan perlukan pakaian baru, jadi saya ambil kesempatan ini untuk bantu mereka sekeluarga,” katanya yang berasal dari Kampung Tedong.
Pelajar, Nurul Alisa Yazid, 20 yang merupakan pelajar semester lima kursus Pengurusan Perniagaan berharap agar program sebegini dianjurkan setiap tahun kerana ia membantu pelajar sepertinya yang juga anak yatim mendapatkan pakaian untuk digunakan ke kuliah.
Manakala Pelajar Kursus Pelancongan, Emir Ridzwan Azman, 23 gembira membawa balik beg bagasi kerana beliau sangat memerlukan beg tersebut kerana sering keluar membuat praktikal sekurang-kurangnya tiga kali satu semester.
“Kebetulan saya lihat beg ini disini, jadi saya rasa mungkin rezeki saya sebab kalau dibeli di kedai memakan banyak kos. Sekarang saya dah boleh berjimat,”jelasnya.
Free Market ini disempurnakan oleh Pengarah PMM, Zulkarnain Jobshi dengan menurunkan tandatangan diatas bunting program.
Barangan yang masih berbaki dalam program ini akan disalurkan ke Pusat-Pusat Kebajikan sekitar Jasin.