
Oleh Dila Khamde
SUNGAI BESAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – “Sasaran kita memang seberapa banyak yang boleh namun bagi saya peratusan undi yang keluar dari pagi tadi sehingga 1.00 tengah hari tadi merupakan sesuatu yang sangat menggalakkan”.
Demikian menurut calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi ketika ditemu ramah wartawan Malaysiaaktif di SMK Sungai Besar awal hari ini.
Tambahnya, “Kita tunggu sampai 5.00 petang kerana kebiasaanya pengundi veteran lewat sedikit.”
“Walaupun kita sasar tinggi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) ini namun 75% pun sesuatu yang baik bagi saya”.
Mengulas tentang keadaan hari mengundi yang dilihat cukup aman beliau menyifatkan prinsip pengundi sekarang sudah matang, tak perlu ada provokasi kerana masing-masing sudah ada pilihan walaupun kemungkinan ada satu hingga dua peratus yang berubah pada saat akhir.
“Biasanya mereka telah tetapkan pendirian sebelum keluar dari rumah”.
Menurutnya, tahap keyakinannya untuk menang PRK ini sangat tingggi disebabkan oleh kemampuannya melaksanakan tugas sepanjang berada sebagai ADUN Sungai Panjang yang tidak mendatangkan masalah kepada pengundi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sehingga 3.00 petang tadi sebanyak 65% pengundi bagi PRK Sungai Besar telah keluar mengundi.