
Oleh Muhammad Rizal Redzuan
SEKINCHAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Pemberita dari pelbagai agensi sebentar tadi berkumpul di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan China (SMJKC) Yoke Kuan, Sekinchan setelah mendapat maklumat bahawa dua orang nelayan Sekinchan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong yang dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia akan tiba di padang sekolah tersebut dengan menaiki helikopter Agusta AW139 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Bagaimana, pun setelah menunggu seawal pukul 1.40 tengahari, tiada pendarat berlaku dan kemudian mereka diarahkan supaya bergegas ke Jeti Nelayan Pulau Redang Sekinchan untuk menantikan bot-bot yang akan tiba.
Menurut sumber APMM, kedua orang nelayan Sekinchan bersama dua orang lagi nelayan Pontian itu sepatutnya diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia kepada pihak berkuasa Malaysia secara rasmi.
Walaubagaimana pun, pihak berkuasa Indonesia dikatakan telah melepaskan mereka begitu saja lebih awal tanpa melalui proses rasmi. Alasan yang diberikan kononnya mereka dianggap rakyat biasa dan tidak layak mendapat pengurusan peringkat negara bagi membolehkan Polis Indonesia menghantar mereka pulang ke Malaysia.
Sehubungan itu, pihak APMM sendiri melalui Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim (MCID) Laksamana Pertama Ibrahim Mohamad dan Pengarah Operasi Johor, Kapten Saiful Lizan Ibrahim ditugaskan untuk mengambil mereka.
Mereka seterusnya dikatakan menaiki feri penumpang awam untuk ke Stulang Laut, Johor Baharu dan dari sana sepatutnya menaiki helikopter serta mendarat di SMJKC Yoke Kuan pada pukul 2.00 petang.