Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

[VIDEO] – Mentarang Sungai Besar Pupus

By 6 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI NIBONG, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Jika dulu Sungai Nibong amat terkenal dengan mentarang, tetapi kini gerai-gerai mentarang di sepanjang jalan di sini terbiar begitu sahaja.

WhatsApp-Image-20160606 (4)

Menurut seorang bekas pencari mentarang, Ahmad Salihin Tarmidi, 59, sebelum ini sekitar tahun 80-an dan 90-an, jumlah mentarang amat banyak di sini dan langsung tiada harga.

“Kini mentarang semakin sukar ditemui setelah kawasan sawah padi di sini diserang siput gondang emas. Siput gondang ini berasal dari Kedah yang datang ke sini melalui mesin-mesin padi yang disewa dari Kedah.

Tambahnya, kerang juga kini sukar diperoleh kesan daripada racun siput gondang ini. Antara punca kepupusan mentarang di Sungai Besar ialah penggunaan racun yang kuat untuk membunuh siput gondang ini di sawah-sawah padi. Air bersama racun yang dilepaskan akhirnya masuk ke laut dan membunuh mentarang-mentarang di sini.

WhatsApp-Image-20160606

“Selain itu, lumpur yang memasuki pantai Sungai Nibong akibat daripada angin kuat dan sebagainya juga menjadi faktor kepupusan mentarang kerana mentarang memerlukan pantai berpasir dengan sedikit lumpur dan keras. Jika lumpur terlalu banyak mentarang akan mati,” kata Salihin lagi.

Sementara itu, penduduk tempatan Ustaz Mahbot bin Rimin, 68, berkata, mentarang-mentarang yang ada di sini adalah dari Jeram dan Pantai Remis.

“Di kawasan tersebut tiada sawah padi. Oleh itu, tiada racun siput gondang digunakan. Mentarang boleh dikatakan pupus di Sungai Nibong, yang dijual di sini adalah dari luar Sungai Nibong,” jelasnya.

Berbeza pula dengan bekas Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sungai Besar yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Wahab atau Nanang.

Menurutnya, ketiadaan mentarang di sini kerana bukan musimnya. Biasa selepas musim monsun barat daya, lumpur akan berkurangan dan mentarang akan kembali ada sekitar Disember hingga Mei tahun hadapan.

 

Seorang nelayan dari Sekinchan, Mohd Harun Raslan, 49 pula berkata, mentarang di Sekinchan mengikut musim, kalau musim berlumpur takkan ada.

“Selain itu, permintaan yang tinggi terhadap mentarang juga menjadi punca mentarang dikutip secara berlebihan sehingga hampir pupus. Racun siput yang digunakan di sawah-sawah padi juga satu punca,” ujar Harun.

 

Ketua Daerah Perikanan Sabak Bernam, Encik Zam-Zam Sarifan pula berkata mentarang ada berdasarkan musim. Jika terlalu banyak lumpur dari selatan datang ke sini dibawa arus laut, mentarang akan mati dan tiada di pantai sini. Mentarang juga bergerak dan tidak diam hanya di satu-satu tempat. Mentarang akan bergerak mencari kawasan yang tidak banyak lumpur dan berpasir.

WhatsApp-Image-20160606 (8)

Menurut Pengarah Bahagian Perancangan Dan Pembanguan Jabatan Perikanan Malaysia, Munir Mohd Nawi, Sungai Besar akan dijadikan Pusat Konsevasi Mentarang. Kajian sedang dibuat oleh penyelidik untuk mencari punca kekurangan mentarang di Sungai Besar selain mencari jalan dan kaedah bagi menambahkan lagi jumlah mentarang di sini.

-DK/SF

Tinggalkan komen anda