Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Ayah, Anak Usahakan Burung Puyuh Pedaging di Sungai Besar

By 6 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI BESAR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Siapa sangka dalam kehijauan kawasan Sungai Besar dengan sawah padi dan kelapa sawit, wujud sebuah keluarga yang gigih mengusahakan perniagaan burung puyuh pedaging.

Memasuki tahun keempat, Jamingan Mongin, 65 dan anaknya Faizal Jamingan, 27 gigih mengusahakan perniagaan keluarga mereka itu setelah perniagaan cacing keluarganya sebelum ini dihentikan kerana faktor kos yang tinggi.

Berbekalkan modal 100 ekor burung puyuh di Sungai Nibong di sini, Jamingan membahagikan burung puyuh tersebut untuk disembelih dan dibela.

“Anak saya mendirikan mendirikan inkubator untuk menyimpan burung puyuh selain turut menerima sumbangan inkubator dan benih puyuh daripada Jabatan Veterinar Malaysia Sabak Bernam,” ujarnya.

WhatsApp-Image-20160604 (6)

Jamingan menyatakan kos makanan puyuh tinggi RM105 bagi satu guni.

“Kos makanan puyuh agak tinggi dalam RM100 seguni manakala cukai barangan dan perkhidmatan dalam RM5. Setiap bulan jumlah keuntungan mengikut pembesaran puyuh, biasanya pada setiap hari sebanyak 120 ekor puyuh akan disembelih,” katanya lagi.

Menurutnya, anak puyuh kini berharga RM0.80 sementara kos elektrik seperti kipas elektrik yang perlu dipasang 24 jam mencecah RM400.

“Telur mengambil masa selama 16 hari untuk menetas. Sehari sebanyak 200 hingga 250 telur akan menetas.

“Dalam sebulan, 500 telur akan dapat dihasilkan dalam satu inkubator, namun hanya kira-kira 300 yang menjadi. Saya kini mempunyai enam hingga tujuh inkubator, jadi secara purata 3500 biasanya menjadi anak puyuh,” ujar Jamingan.

WhatsApp-Image-20160604 (5)

Bagi Jamingan, cabaran terbesar adalah untuk memperluas perniagaannya kerana setakat ini hanya pekedai tomyam, penjual di pasar, peniaga nasi ayam tempatan dan pelanggannya yang paling jauh adalah di Temerloh.

Pada masa yang sama, Jamingan dan Faizal turut mengusahakan kelapa sawit dua ekar setengah yang katanya jualan tidak menentu namun dapat meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.

Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Veterinar Sabak Bernam, Normah Md Nuri,menerusi Program Merakyatkan Ekonomi pihaknya terus memberikan galakan kepada penternak supaya mampu menjana lebih banyak keuntungan.

“Kami anjurkan pelbagai kursus pengurusan ternakan, pemakanan, pemanian berhadas, produk Industri Asas Tani (IAT) misalnya bahan berasaskan ternakan daging dijadikan meatball, kulit lembu jadi kikil atau jangat dalam bentuk jeli. Jabatan Veterinar menyediakan penternak tempat menyidai, meja berendam, periuk dan pembungkusan.

“Bagi perusahaan burung puyuh, inkubator penetasan puyuh, peti sejuk untuk menyimpan daging setelah disembelih dan peralatan untuk membuat tiang seperti simen dan pasir turut diberikan. Namun pihak kami tidak memberikan bantuan dari segi makanan puyuh.

“Seperti perusahaan Faizal Jamingan dan ayahnya, mereka berdua memang sah mendaftar. Setiap penternak lessen unggas misalnya puyuh memerlukan kadar minimum 1000 ekor puyuh untuk mendapatkan lesen yang berharga RM50,” kata Normah.

WhatsApp-Image-20160604 (12)

Tambahnya, mereka yang ingin mendapatkan lesen perlu melalui proses selama tiga minggu termasuklah sesi pemantauan oleh pihak Veterinar.

“Pihak kami akan memastikan bahawa mereka ini merupakan penternak, berpengalaman sekurang-kurangnya setahun mengendali, kawasan tidak melibatkan gangguan kepada penduduk, tanah sendiri, lokasi yang jauh daripada penduduk dan tidak berbau.

“Di Sungai Besar ini, walaupun rata-rata masyarakat lebih bertumpu kepada pertanian namun penternakan seperti burung puyuh dan ayam dilihat berpotensi untuk kembang dan menjana pendapatan keluarga,” ujarnya lagi.

-DK

Tinggalkan komen anda