
Oleh Fauziah Hussain dan N. Rajeswari (KL)
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Dua kenderaan Proton Exora menjadi hadiah Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59, Wan Ainuddin Abdullah dari Kelantan dan Johan Qariah, Nor Azrah Ayub dari Johor.
Mereka menerima hadiah masing-masing dalam majlis penyerahan di Bangunan TH hari ini.
Wan Ainuddin, 34, bersyukur kerana hadiah tersebut meringankan beliau sekeluarga. Beliau yang bekerja sebagai Imam Masjid Tun Abdul Aziz Seksyen 14 Petaling Jaya juga Johan Qari peringkat Kebangsaan pada 2015 menerima Proton Preve dari TH.
Bagi Nor Azrah Ayub, 38, hadiah yang diterima dianggap istimewa dan bertepatan sempena hari jadi anaknya, Mohammad Faizun Nurhan Md Fauzan yang ke-8 tahun esok.
Pegawai Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah itu tidak berhasrat untuk memasuki pertandingan tilawah pada tahun depan kerana ingin memberi peluang kepada peserta lain.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah dan Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan, Mohamad Naser Jaffar.