Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Permintaan yang memberangsangkan daripada pelanggan yang menggunakan khidmat House Of Denim (HOD) pada Ramadan lepas dijadikan batu asas kepada anak-anak muda pemilik butik tersebut agar terus memajukan diri untuk masa depan perniagaan mereka.
Lima orang pemilik HOD merupakan pelajar-pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian, Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) yang telah sembilan bulan memulakan perniagaan di inkubator yang disediakan disini.
Pelajar-pelajar didedahkan kepada keadaan sebenar alam perniagaan bagi mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran selepas menamatkan pengajian nanti.
Menurut seorang pemilik HOD, Nurrsuhana Ishak, 19 pada mulanya beliau ingin mengendalikan perniagaan secara bersendiri sebelum mendapat tahu rakan-rakannya yang lain juga turut berminat dan mempunyai arah tuju yang sama.
“Kami menerima banyak tempahan baju untuk disiapkan dan tempahan meningkat semenjak sebelum Ramadan, dan selain daripada t-shirt dan blouse, kami juga menjual beg jeans rekaan sendiri,” jelasnya.
Sambutan yang menggalakkan yang diterima dan juga tempahan berulang daripada pelanggan tetap membolehkan mereka memperoleh pendapatan mencecah RM3000 sebulan.
“Kami selalu mengambil masa rehat dan juga selepas kelas utk menyiapkan tempahan pelanggan. Ada juga yang kami selitkan di dalam kelas jika ada masa yg lapang,”kata Nurrsuhana yang menjadikan Datuk Alif Syukri, jutawan produk D’Herbs sebagai idola.
“KKBBM sangat memberi sokongan kepada kami dari segala aspek. Mereka menghantar kami ke kursus usahawan utk menambahkan pengetahuan kami di bidang ini,”ujarnya kepada Malaysiaaktif.
Kejayaan ini membuktikan kepada masyarakat yang KKBBM merupakan sebuah institusi yang relevan dan mampu membantu golongan belia dan komuniti dalam dunia keusahawanan melalui modal pembelajaran yang ditawarkan serta kepakaran tenaga pengajar yang sedia ada.
Ia juga dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa kolej komuniti bukan pilihan terakhir kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran kerana program sedemikian telah meningkatkan kadar kebolehpasaran yang tinggi di kalangan graduan kolej komuniti.