Oleh Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 26 Jul (Malaysiaktif) – Bubor Sendok di gerai No.16 di bawah syarikat BZMZSiblings menjadi pilihan pengunjung Sarawak Kitchen sebagai menu sarapan pagi.
Bubor sendok ini diusahakan oleh tiga beradik iaitu Nur Nabilla Khairunnisa, 26, Nur Ameekah Latifah, 21, dan Nur Hasinah Nadiya, 29, yang berasal dari Kuching.
Mereka masing-masing merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjenamakan syarikat mereka sebagai BZMZSiblings telah mula beroperasi pada tahun lepas.
“Kami masing-masing merupakan graduan UiTM. Namun oleh sebab kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap, kami memilih untuk memulakan perniagaan keluarga. Lagipun kami berasa seronok menjalankan perniagaan seperti ini.
“Pada mulanya kami menyediakan bubur untuk ahli keluarga yang demam, namun oleh sebab resipi daging manis nenek kami yang kini berusia lebih 90 tahun dilihat berpotensi untuk dijual, kami meneruskan hasrat untuk memulakan perniagaan bubur sendok.
“Kerajaan yang ada memberikan bantuan berbentuk dana untuk mendapatkan peti sejuk dan ketuhar jelas sekali membantu usahawan muda seperti kami,” ujar Nabilla.
Tambahnya, biasanya pada setiap hari, mereka dapat menjual lebih kurang 350 mangkuk bubur. Pada hari pembukaan SUKMA Sabtu lalu, walaupun hujan, kami tak menang tangan dan berjaya menghabiskan jualan seawal 6.00 petang. Kami terpaksa membuat lagi bubur dan alhamdulillah set terakhir juga habis dijual.
Menurut seorang pembeli, Remmy Sukup, 43, rasa bubur sendok memang sangat sedap dan sesuai untuk sarapan bagi menambahkan tenaga sebelum mula bertugas.
“Biasanya, bubur dimakan dengan telur asin tetapi bubor sendok istimewa kerana mempunyai telur padi yang menjadikan rasa bubur tersebut lebih berlemak dan harganya juga amat berpatutan antara RM6 hingga RM8,” ujarnya.
Selain bubor sendok, mereka juga menjual cornflakes secret love coated with chocolate, milk chocolate, white chocolate dan strawberry yang dijual dengan harga RM10.
Ramai atlet mendapatkannya sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Sejak perasmian SUKMA, sebanyak 1500 lebih telah dijual.
Bubor sendok boleh diperoleh di Sarawak Kitchen yang beroperasi berdekatan Stadium Akuatik bermula dari 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari sehingga hari penutup SUKMA XVIII.