Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Buras: Sajian Eksotik Bugis

By 5 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

TAWAU, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Burasak merupakan makanan tradisional masyarakat Bugis yang popular terutama pada hari perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Di Tawau, Sabah, Burasak lebih dikenali sebagai Buras dalam kalangan masyarakat Bugis di sini.

WhatsApp-Image-20160705 (1)

Buras, sejenis hidangan seperti lemang, mudah ditemui di kawasan-kawasan yang mempunyai masyarakat Bugis.

Kebiasaannya pada hari raya pertama, juadah yang wajib dihidangkan ialah Tumbu dan Buras serta Nasu Likku (Ayam Masak Lengkuas).

Malaysiaaktif semalam meninjau proses pembuatan buras oleh Hajah Rosiah Sidek, 48, di kediaman beliau yang terletak di Tanjung Batu Keramat.

Menurutnya, pembuatan buras memerlukan kesabaran kerana ia perlu direbus berjam-jam dengan api perlahan untuk mendapatkan nasi yang padat dan enak. Beliau juga masih menggunakan kaedah tradisional bagi membuat buras iaitu dengan melapik tin menggunakan daun pisang sebelum memasukkan buras dan air supaya tidak hangus.

WhatsApp-Image-20160705 (3)

“Proses pembuatan buras mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang enam jam; bermula dengan penyediaan daun pisang, santan kelapa, beras sehingga dipanaskan dalam periuk atas kayu api,” jelas Rosiah.

Tambahnya, terdapat dua jenis buras, iaitu buras yang menggunakan beras biasa dan yang menggunakan beras pulut yang dipanggil Tumbu.

Rosiah telah menjalankan perniagaan membuat buras sejak tujuh tahun lalu. Dengan bermodalkan hanya RM100, beliau hanya mengambil tempahan dalam 15 hingga 20 ikat buras setiap hari, lalu dijual bersama dengan hidangan lain. Buras yang telah siap akan dijual dengan harga RM2 seikat.

“Pada musim perayaan, buras mendapat permintaan tinggi dari kalangan masyarakat Tawau. Tempahan yang diterima biasanya mencecah sehingga 500 ikat daripada pelanggan tetap,” ujarnya.

Rosiah turut berkongsi petua kepada Malaysiaaktif untuk mendapatkan rasa buras yang enak. Menurutnya, terdapat dua perkara yang perlu dijaga dalam proses memasak buras, iaitu memastikan beras yang digunakan dibilas sebersihnya dan kadar air perlu dijaga secara berkala ketika memasak buras.

Tambahnya lagi, buras boleh bertahan antara dua hingga tiga hari. Untuk lebih lama, buras yang disimpan di dalam peti sejuk boleh bertahan hingga seminggu. Setelah dikeluarkan dari peti sejuk, buras perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum dihidangkan.

Sementara itu, anak Rosiah, Aliadi Mohd Tahir, 29, yang masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata buat masa sekarang, mereka hanya membuat pemasaran melalui mulut ke mulut. Namun, bermula tahun ini, mereka cuba memasarkannya secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook dan hasilnya, mereka mendapat sambutan yang luar biasa.

“Kami mendapat tempahan yang berlipat kali ganda sehingga kami tidak dapat memenuhi tempahan yang begitu banyak. Kami mempunyai kekangan dari segi bahan mentah yang terhad ketika musim perayaan dan bilangan tenaga kerja yang sedikit sebab perniagaan ini hanya kecil- kecilan sahaja. Namun, kami akan memperbaharui servis kami agar dapat memenuhi permintaan yang banyak pada musim perayaan.

“Saya amat berterima kasih kepada yang menyokong kami dan industri desa ini. Harapan saya agar kita dapat mengekalkan tradisi turun temurun di samping meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” jelas Aliadi.

 

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda