Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Jadi Runner Kerana Susah Dapat Pekerjaan

By 5 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Foto: Koleksi peribadi Abdul Razak Juddin

TAWAU, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Kerana kasih pada isteri, Abdul Razak Juddin, 22, sanggup melepaskan pekerjaan di sebuah syarikat perkapalan milik abangnya di Labuan untuk kembali ke daerah Tawau bagi menjaga isterinya yang sedang sarat mengandung.

Sekembalinya dia ke Tawau, Abdul Razak berusaha mencari pekerjaan bersesuaian untuk menampung keluarganya yang bakal bertambah menjadi empat orang dengan kelahiran anak keduanya pada ketika itu, namun, tidak berhasil.

Dengan dorongan daripada kakaknya, Abdul Razak nekad untuk menjadi seorang runner dan kini, telah tiga bulan dia membuat pekerjaan tersebut.

“Pada mulanya saya tidak yakin untuk mejadi runner tapi selepas lihat kehidupan sekeliling yang makin sibuk ditambah lagi dengan kesesakan jalan raya, saya mula terfikir kerja ini mempunyai potensi di Tawau memandangkan kehidupan masyarakat sekarang yang sibuk dengan kerja dan tidak sempat untuk membuat tugasan lain,” jelasnya.

Menurut Abdul Razak, caj yang dikenakannya bermula serendah RM5. Ini bergantung kepada jenis kerja yang perlu dilakukan dan juga jarak tempat yang perlu dilalui.

WhatsApp-Image-20160703 (4)

Abdul Razak bersama salah seorang pelanggannya.    – Foto: koleksi peribadi Abdul Razak Juddin

“Semakin berat kerja yang perlu dilakukan, semakin tinggilah caj yang saya kenakan. Namun, saya terbuka untuk berunding harga mengikut kemampuan pelanggan. Jika mereka rasa caj yang saya kenakan agak tinggi, mereka boleh letak harga mereka sendiri. Jika sesuai, saya akan terima,” katanya.

Tugas Abdul Razak sebagai seorang runner ternyata sangat berkepelbagaian. Pelbagai jenis bantuan yang diperlukan oleh pelanggannya seperti menghantar barang jualan dalam talian, beli makanan, ambil dan hantar barang di pejabat pos, memperbaharui cukai jalan kereta dan motor, menghantar hadiah untuk hari jadi dan juga hari keluarga.

 

WhatsApp-Image-20160703 (2)

Antara pelanggan yang menggunakan khidmat Abdul Razak                                                    – Foto: koleksi peribadi Abdul Razak Juddin

 

Ada juga pelanggan dari Kota Kinabalu yang menggunakan khidmat saya untuk membelikan barangan yang hanya boleh didapati di sini, dan saya akan tolong mengirimkan barang tersebut menggunakan bas ekspress,” katanya lagi.

 

Kini, Abdul Razak lebih berhati-hati dalam menghulurkan khidmat bantuannya kerana pernah ditipu sebelum ini. Menurutnya, ada sesetengah tugasan yang memerlukan dia mengeluarkan duitnya sendiri sebelum dibayar oleh pelanggan. Ada kes di mana pelanggan tidak membayar kembali duitnya dan itu menyebabkannya serik.

Walau bagaimanapun, Abdul Razak tidak membiarkan perkara tersebut melemahkan semangatnya. Apatah lagi, dengan hanya menggunakan sebuah skuter, dia mampu menjalankan tugasan yang diberikan.

“Saya mejadi runner hanya menggunakan Skuter Yamaha Egos. Jika barangan yang perlu dibawa agak besar, saya tetap usahakan juga. Tapi jika betul-betul diluar kemampuan saya, saya akan meminta bantuan daripada kawan yang mempunyai kereta. Upah yang diterima akan dibahagi sama rata,” jelasnya.

WhatsApp-Image-20160703 (3)

Abdul Razak sebelum keluar menghantar barangan kepada pelanggannya.   – Foto: koleksi peribadi Abdul Razak Juddin

Tambah Abdul Razak, pendapatannya sehari boleh mencecah sehingga RM150 bergantung kepada jumlah pelanggan. Adakalanya, bantuannya diperlukan oleh tujuh hingga lapan orang sehari, dan adakalanya langsung tiada pelanggan yang menggunakan khidmatnya.

 

“Jika saya tidak mendapat pelanggan pada hari-hari tertentu, saya akan pergi dari satu kampung ke satu kampung yang lain untuk menjual wi-fi internet sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Melihatkan kepesatan laman sosial, Abdul Razak menggunakan platform tersebut untuk mempromosikan perkhidmatannya termasuk laman Facebook dan laman sembang WhatsApp. Bukan itu sahaja, dia turut menggunakan kaedah lama dengan mengedarkan risalah perkhidmatannya kepada masyarakat setempat.

“Saya seronok menjadi runner kerana selain dapat mengenali ramai orang, saya juga dapat beramal sambil bekerja,” ujarnya kepada Malaysiaaktif melalui telefon.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda