Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Lemang Warisan Jadi Pilihan

By 5 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: M Zakry Chan (Melaka) / Foto: ihsan Ismail Dogol

ALOR GAJAH, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma esok membuatkan ramai orang Islam di Malaysia memikirkan pelbagai juadah utama sempena perayaan tersebut. Lemang, ketupat dan rendang pasti menjadi hidangan yang wajib dihidangkan untuk tetamu yang bertandang ke rumah.

Bagi peniaga lemang, Ismail Dogol, 42, dari Kampung Padang Keladi, Durian Tunggal, saat seperti ini merupakan masa yang paling sibuk untuk dia memastikan permintaan lemang warisan keluarganya dapat dipenuhi sepanjang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Ismail, yang telah menjalankan perniagaan lemang sejak 18 tahun lalu, mengambil alih perniagaan tersebut daripada ibunya. Menggunakan resipi yang sama sejak dahulu, pengalamannya memasak lemang membuatkan lemang tersebut masak sekata dan menjadi pilihan ramai.

Mendirikan khemah di sebelah rumah berhampiran Taman Rekreasi Serama Park, Ismail yang merupakan pengusaha restoran di Durian Tunggal, mengerah kudrat mencari rezeki tambahan menjelang Aidilfitri.

WhatsApp-Image-20160705

Ismail (berbaju merah) ketika mencari kayu untuk memasak lemang.

Menurutnya, dia menjangkakan lebih 1,000 batang lemang menjelang malam raya akan terjual seperti tahun-tahun lepas, tidak termasuk tempahan rumah terbuka yang diterima sepanjang bulan Syawal. Harga lemang pula dijual mengikut saiz buluh, antara RM8 hingga RM15 setiap batang.

“Cabaran peniaga lemang adalah dari segi peningkatan kos buluh yang kini menjangkau RM2 sebatang berbanding dahulu yang berharga antara RM1 hingga RM1.20 sahaja.

“Sudahlah meningkat, adakalanya bekalan sedia ada terputus pula maka saya terpaksa pergi ke hutan mencari buluh sendiri. Ini sememangnya akan memakan masa. Namun, inilah asam garam peniaga lemang,” ujar Ismail sambil tersenyum.

‘Jaminan Kepuasan Pelangan’ menjadi slogan Ismail dalam menjalankan perniagaan lemang yang turut dibantu oleh emak, kakak, isteri serta dua orang anaknya.

“Dalam berniaga, kami bukan mengharapkan keuntungan semata-mata, namun yang penting pelanggan berpuas hati dengan lemang yang dibeli,” kata Ismail.

WhatsApp-Image-20160704

Seorang pelangan setia lemang warisan, Sabariah Dolah, 39, berkata sememangnya setiap tahun dia akan datang untuk membeli lemang di sini kerana jaminan kepuasan pelanggan yang diberikan membuatkan pelanggan yakin dengan lemang warisan Ismail.

“Di sini, setiap lemang akan dipastikan masak sekata dan tidak berkerak dan itu yang membuatkan saya sanggup kembali setiap tahun. Lemang di sini memang terbaik,” ujar Sabariah.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda