Skip to main content
Berita SarawakBerita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Jika Petang, Khairul Mungkin Pecah Rekod Kebangsaan – Watson

By 29 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya) / Foto: Nazri Rapaai

KUCHING, 29 Jun (Malaysiaaktif) – “Kalau 200 meter diadakan pada sebelah petang, mungkin Khairul boleh berlari dengan lebih bagus, mungkin rekod (kebangsaan) dapat dipecahkan.”

Demikian kata, bekas pemegang rekod kebangsaan 100 meter, Watson Nyambek yang ditemui setelah tamatnya acara 200 meter akhir yang berlangsung di Stadium Sarawak, pagi ini.

“Mungkin Khairul keletihan, sebab semalam dia lari dalam dua acara,  200 meter separuh akhir dan 4x 100 meter akhir. Pagi ini dia lari lagi. Mungkin ada sedikit keletihan. Jika acara akhir berlangsung pada petang ini mungkin dia lebih bagus. Sebab dia pun lari 100 meter petang kan,” tambah Watson.

Dalam acara pagi tadi, Khairul Hafiz Jantan yang baru sahaja meleburkan rekod kebangsaan 18 tahun milik Watson Nyambek kelmarin, telah mencatatkan rekod baharu kejohanan dalam acara 200 meter dengan catatan masa 21.03 saat.

Lelaki 200 1

Khairul Hafiz Jantan (tengah) ketika beraksi dalam acara pecut 200 meter akhir pagi tadi.

 

Pingat perak pula dimenangi oleh atlet Selangor, Mohd Aqil Yasmin, dengan 21.31 saat manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Jonathan Nyepa dengan 21.34 saat.

Sementara itu, mengulas berkenaan rekod 100 meter kebangsaan berusia 18 tahun miliknya yang telah dileburkan oleh Khairul Hafiz, Watson telah menjangkakannya.

“Memang saya dah agak, dah jangka rekod itu akan pecah. Jadi, saya gembira dapat melihat di hadapan mata sendiri apabila dia buat 10.18 itu. Saya amat berpuas hati dengan prestasi dia.

“Teknik dia lari, frekuensi kaki dia memang cepat berbanding atlet yang lain. Nasihat saya, biar dia kekalkan prestasi tersebut dan terus fokus. Jangan leka kerana kalau leka kita akan musnah,” katanya lagi.

Watson juga berharap agar Majlis Sukan Negara (MSN) melihat atlet pecut SUKMA kali ini bukan sekadar pada tahap Malaysia.

“Saya harap MSN harus tahu mereka ini bukan sekadar atlet taraf Malaysia sahaja. Tahap mereka dah berubah sebab kita tengok Khairul yang mencatatkan masa 10.18 saat, tahap dia sudah tinggi. Biarlah mereka ini bertanding di luar negara.

“Harapan saya biarlah pelari pecut seperti mereka ini dapat bekerjasama agar prestasi mereka boleh dikekalkan dengan berlatih sama-sama,” ujarnya.

Watson yang kini merupakan jurulatih sepenuh masa Majlis Sukan Negeri Sarawak juga tidak menafikan pada SUKMA kali ini kebanyakan atlet menyerlah dengan catatan masa terbaik peribadi masing-masing.

“Secara keseluruhan saya nampak pada SUKMA kali ini, prestasi atlet muda yang terbaik sebab saya tengok masa mereka semua bagus. Banyak yang mereka buat ialah personal best. Saya harap prestasi ini akan berterusan,” jelasnya lagi.

Khairul Hafiz Jantan

Aksi Khairul Hafiz Jantan, 18, selepas memenangi acara pecut 200 meter.

 

Dalam pada itu, Khairul Hafiz Jantan, 18, ketika ditemui pemberita turut menyokong kenyataan Watson berkenaan memecahkan rekod kebangsaan.

“Antara faktor kenapa saya tidak dapat memecahkan rekod kebangsaan adalah permulaan larian, dan juga kerana masih siang (pagi). Saya lebih selesa lari ketika waktu petang. Sebab baru bangun, makanan pun tak berapa nak hadam lagi.

“Saya akan berusaha untuk membaiki permulaan larian saya dan buat yang terbaik. Selepas ini, saya kan bertanding di Malaysia Open pada September ini. Saya sasarkan acara 200 meter,” ujar Khairul Hafiz.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda