Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

‘Pak Tambang’ Biasa Berhujan, Berpanas

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mulyani Nong Che’ / Foto: Lee Nyuk Lan (Sarawak)

KUCHING, 29 Jul (Malaysiaatif) – Tanpa mengira hujan atau panas, setiap hari lelaki ini akan menjalankan tugasnya membawa penumpang menggunakan perahu tambangnya dari pangkalan Kampung Boyan menuju ke pangkalan Tebingan Kuching (Kuching Waterfront).

Haili Birin, 51, yang berasal dari Kampung Boyan, Kuching berminat dengan kerjaya yang sinonim dengan gelaran ‘Pak Tambang’ sejak 2011 setelah menyaksikan sendiri beberapa pengendali perahu tambang yang berasal dari Samarahan yang sanggup datang ke Kuching dan mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

Bercerita tentang pengalaman selama lima tahun mengendalikan perahu tambang, dia memberitahu bahawa seperti pekerjaan yang lain, pastinya ada suka dan duka.

“Jika ramai penumpang dan cuaca panas pastinya pendapatan akan lebih manakala jika keadaan cuaca tidak baik seperti hujan, pastinya tidak ramai yang hendak bersiar-siar atau membuat aktiviti luar dan pastinya pendapatan pada waktu tersebut akan kurang,” jelasnya.

Pix 1 Haili

Haili Birin, 51, mula kerjaya sebagai Pak Tambang pada tahun 2011.

Haili berkata bahawa ada masanya keadaan air sungai yang deras juga menimbulkan rasa takut untuk mengendalikan perahu tambang.

Walau bagaimanapun keadaan sebegitu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya dan dia menganggapnya sebagai rencah kehidupan sebagai pak tambang.

“Saya juga turut membawa pelancong yang ingin bersiar-siar menyaksikan panorama sekitar sungai Sarawak,” katanya yang merupakan bapa kepada empat orang anak.

“Sepanjang SUKMA (Sukan Malaysia) berlangsung misalnya, terdapat atlet luar yang menggunakan perahu tambang saya untuk menyusuri sungai Sarawak sambil menyaksikan panorama sepanjang sungai selain mereka juga dapat melihat pelbagai bangunan menarik seperti Bangunan Dewan Undangan Negeri, Astana Negeri dan Fort Margherita,” jelasnya yang nyata gembira kerana selain mempromosikan SUKMA dia juga berpeluang mempromosikan negeri ini.

Perahu tambang sememangnya pengangkutan yang sinonim dengan Bandar Raya Kuching. Setiap hari jika bersiar-siar di Tebingan Kuching, para pengunjung akan menyaksikan perahu tambang yang berulang-alik membawa penumpang dari kampung-kampung seberang sungai seperti Kampung Lintang, Boyan dan Gersik.

Sebanyak 10 buah perahu tambang yang berpengkalan di Boyan, Gersik, Sungai Bedil, Kampung Lintang dan Kampung Tanjung telah dipilih untuk dipasangkan kain rentang SUKMA 2016 oleh Jawatankuasa Promosi dan Publisiti SUKMA Sarawak 2016 bagi tujuan promosi temasya sukan tersebut selama dua bulan.

 

-SF

Tinggalkan komen anda