Skip to main content
Berita SarawakBerita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

[VIDEO] Ratu Pecut, Raja Pecut SUKMA Pecah Rekod 200 meter

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa & Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Nazri Rapaai 

KUCHING, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri, pelari pecut 200 meter Perak telah memecahkan rekod yang dipegang sejak 2002 oleh bekas Ratu Pecut Negara, Petra Nabila Mustafa dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII kali ini.

Syafiqah berjaya menghabiskan larian dengan catatan masa 24.31 saat berbanding 24.37 saat oleh Petra Nabila.

Rakan senegerinya, Shereen Samson Vallabouy turut mengharumkan nama skuad Perak apabila berjaya merangkul pingat perak dengan catatan masa 25.02 saat, sementara pingat gangsa disandang oleh atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd Yusof dengan 25.50 saat.

Menurut Syafiqah, 19, dia sama sekali tidak menjangkakan kemenangan berganda ini.

Wanita 2

Aksi Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri selepas memenangi acara larian pecut 200 meter.

“Saya tak jangka dapat buat begitu baik dalam larian saya, 100 meter dan 200 meter. Sebenarnya saya hanya menyasarkan 200 meter. 100 meter itu alhamdulillah dapat.

“Saya suka acara 200 meter. Rekod peribadi saya sebelum hari ini ialah 24.50 saat.

“Saya membuat latihan dan saya cuba buat yang terbaik. Saya juga akan selalu berlatih dan meminta nasihat daripada jurulatih, Tan Kok Lim. Saya yakin kejayaan itu akan datang sendiri setelah berusaha,” ujar Syafiqah.

Menjadikan atlet negara, Zaidatul Husniah sebagai idolanya, Syafiqah berkata dia suka melihat cara larian Zaidatul yang mempunyai badan yang ringan maka lariannya laju.

“Kalau atlet antarabangsa, semestinya atlet Jamaica, Usain Bolt menjadi idola saya. Untuk perempuan pula, pilihan saya ialah Dafne Schippers dari Netherlands.

“Perancangan saya selepas ini, saya dalam kuartet 4×100 meter skuad kebangsaan dan akan menyertai kejohanan Sukan SEA akan datang,” kata Syafiqah yang telah dua kali menyertai SUKMA.

Dalam pada itu, rekod SUKMA kategori lari pecut 200 meter lelaki turut dilebur oleh Raja Pecut terbaharu negara, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 21.03 saat.

Lelaki 200 3

Aksi kemenangan Khairul Hafiz Jantan (dua dari kanan).

Rekod SUKMA sebelum ini, 21.33 saat dipegang oleh atlet Terengganu, Nazmizan Mohamed pada tahun 2002.

Pingat perak dan gangsa masing-masing disandang oleh atlet Selangor, Mohd Aqil Yasmin, dengan 21.31 saat dan atlet Sarawak, Johnathan Nyepa dengan 21.34 saat.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda