Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Keropok Amplang – Buah Tangan Wajib Sabah

By 18 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

TAWAU, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Jika negeri di Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan terkenal dengan keropok lekor, maka keropok amplang pula cukup sinonim dengan masyarakat Sabah.

Keropok yang dihasilkan daripada ikan Tenggiri sebagai bahan utama ini pada awalnya hanya dihasilkan sebagai menu santapan pada waktu petang sebelum dijadilkan sebagai produk perusahaan sekitar tahun 1985.

Rosmie Bersaudara yang berpangkalan di Tawau merupakan perintis kepada penghasilan produk amplang sebelum berkembang memasuki pasaran di kawasan lain.

Rozekin Suratman, 35, yang mengambil alih perniagaan amplang daripada ibunya bermula tahun 2010 berkata pada awal perniagaan hanya lima kilogram bungkusan keropok dapat dihasilkan setiap hari.

10

“Kini, hampir 500 kilogram tempahan bungkusan keropok amplang perlu disiapkan untuk dibekalkan kepada pengusaha bukan sahaja di Tawau malah meliputi seluruh Malaysia,” ujar Rozekin.

Tambahnya, produk itu semakin dikenali pengunjung luar apabila penjualannya semakin meluas dan menjadi antara buah tangan yang harus dibawa pulang sekiranya bertandang ke negeri Sabah.

Menurut Rozekin lagi, bagi menyiapkan tempahan yang diterima, pembekal akan menghantar satu tan ikan bersamaan 1,200 kilogram setiap hari.

9

“Memandangkan ikan tenggiri terlalu mahal, kami campurkannya dengan ikan kerisi, tetapi masih kekalkan kualiti dan rasa yang sama,” katanya.

Kini, proses pembuatan keropok amplang ini lebih singkat apabila pembekal dapat menghantar isi ikan yang sudah diproses sahaja sekarang yang mana lebih menjimatkan masa dan proses pembuatan amplang.

48

Meskipun memiliki persamaan dari segi bahan utama iaitu ikan, namun melihat kepada bentuk dan rupa keropok amplang dengan keropok ikan yang lain ternyata jauh berbeza.

13

Mempunyai rasa yang berbeza daripada keropok ikan yang lain, menjadikan keropok amplang dikenali sebagai antara makanan ringan popular di Sabah yang mempunyai identiti dan keunikannya tersendiri.

Pada peringkat permulaan, keropok amplang hanya dihasilkan dalam perisa asli iaitu ikan, namun kini, terdapat pelbagai perisa lain yang ditawarkan seperti udang, sotong dan ketam.

“Kami mengekalkan kualiti dari segi ikan yang diambil yang memerlukan kesegaran ikan perlu dijaga kerana ia memainkan peranan dalam mempengaruhi ketahanan jangka hayat amplang yang mampu bertahan sehingga enam bulan,” jelas Rozekin.

Rozekin berkata, pada masa kini, harga borong bagi setiap satu paket amplang ialah RM20 untuk sekilogram, RM10 (500 gram), RM5 (200 gram), RM3 (100kg) dan RM1.50 (40 gram).

Rozekin kini mampu berbangga dengan syarikatnya apabila mampu memperoleh keuntungan purata RM60 ribu sebulan secara kasar hanya dengan penjualan amplang.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda