Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kreativiti Boleh Dibentuk, Digilap – Sharifah Zarah

By 23 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Zuraidah Ahmad, Warman Wagiman & Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA BELUD, 23 Julai (Malaysiaktif) –? Kreativiti tidak lahir daripada kelayakan atau pengajian tinggi yang dimiliki seseorang, sebaliknya boleh dibentuk dari bawah dan melahirkan komuniti yang kreatif.
Menurut Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata apa yang penting ialah ahli komuniti itu perlu menyedari dan mengenal pasti bakat serta minat mereka.
Dengan bakat tersebut, katanya, kementeriannya akan membantu, mencungkil, membimbing serta menggilap bakat sedia ada untuk diketengahkan kepada komuniti.
“Pada hari ini kita dapat melihat beberapa persembahan yang telah dibuat oleh para peserta dan kita dapati mereka begitu hebat sekali.
“Pada saya, kehebatan mereka ini harus kita bantu untuk digilap dan diketengahkan kerana kreativiti sebenarnya datang dari dalam diri mereka sendiri.
“Kami di sini membawa ilmu pengetahuan untuk diajarkan kepada komuniti, mencungkil bakat-bakat mereka sekali gus memberi peluang untuk diketengahkan.
“Kerana itu kita ada RTM, FINAS dan beberapa lagi agensi serta jabatan berkaitan untuk menggilap bakat dan kreativiti mereka terutama golongan belia,” ujarnya.
Tambahnya, program itu memberi peluang kepada masyarakat untuk mempelajari secara teori dan praktikal berhubung industri kreatif termasuk menghasilkan filem, drama, animasi dan penulisan skrip.
Beliau ditemui media pada Majlis Pelancaran Program Kreativiti @ Komuniti di Kota Belud, petang semalam.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), RTM, JASA, POS, BERNAMA, Finas, MDEC turut terlibat dalam program tersebut.
Berkenaan program berkenaan, Sharifah Zarah turut menjelaskan inisiatif itu ialah cetusan idea Menteri KKMM, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak.
“Inisiatif hebat ini membawa kementerian turun ke bawah bagi menerangkan kepada rakyat berkaitan jalur lebar, kepentingan Internet dalam zaman digital dan klik dengan bijak dan mencungkil bakat khusunya golongan belia.
“Segala yang kita laksanakan untuk memastikan rakyat dapat manfaat sebaiknya daripada fungsi kementerian ini,” tambahnya.
Justeru, beliau menggesa rakyat agar tidak melepaskan peluang keemasan tersebut pada siri program yang seterusnya.

Tinggalkan komen anda