Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanGlobalHomeMelakaViral

Malaysia Tidak Perlu Campur Tangan Luar – Idris Haron

By 23 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 23 Jul ( Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menegaskan Malaysia tidak memerlukan campur tangan daripada pihak luar berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Loretta E. Lynch mewakili Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk menjalankan siasatan terhadap 1MDB dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung pada Rabu.

Dalam kenyataannya, DOJ berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih daripada US$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB yang merupakan sebahagian dari US$3.5 bilion yang dilarikan daripada institusi itu dalam salah laku pecah amanah.

“Sebenarnya tidak perlu pun ada campur tangan dari pihak luar. Tak perlu orang lain tunjuk ajar bagaimana urus tadbir negara kita sendiri. Negara kita tanggungjawab kita.

“Tindakan DOJ tersebut seolah-olah menunjukkan minat mereka (AS) untuk campur tangan dalam isu politik di rantau Asia,” ujar Idris kepada pemberita ketika menghadiri Jamuan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh semalam.

Katanya, DOJ dilihat bersungguh memberi perhatian kepada apa yang berlaku di rantau ini. Walhal, banyak lagi perkara penting dalam negara itu yang sepatutnya mereka fokuskan daripada campur tangan.

Menurut Idris, adalah tidak mustahil perkara yang dibangkitkan DOJ juga adalah inisiatif dari mereka yang tidak bersenang hati dengan kerajaan seperti keputusan pilihan raya atau sebagainya.

“Malah mereka mungkin bersenang hati dengan sikap Amerika yang seperti mahu campur tangan. Sepatutnya kita perlu mengekalkan kedaulatan kemerdekaan negara yang terbukti tiada tolok banding dari segi keamanan dan kemakmuran,” kata Idris.

Tambahnya lagi, tindakan AS membawa isu 1MDB dilihat seperti mahu mengalihkan perhatian dunia daripada isu dalaman mereka seperti bekas-bekas presiden mereka yang terlibat dengan keganasan perang.

“Kalau di United Kingdom, mereka melakukan siasatan kepada bekas presiden mereka sebagai penjenayah perang, saya yakin di Amerika juga mungkin terdapat bekas presiden mereka turut terlibat dengan jenayah berkenaan.

“Sampai ke hari ini ia menjadi tanda tanya kepada seluruh dunia dan mereka mengalih perhatian daripada isu tersebut dengan membawa isu 1MDB,” jelasnya.

Dalam pada itu, Idris turut memuji sikap Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Razak yang berjiwa besar, berfikiran terbuka dengan membenarkan DOJ menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB.

DOJ menamakan empat individu dalam siasatan ini termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, ahli perniagaan Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low), pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda