Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Melaka Antara Destinasi Hentian HSR

By 21 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Melaka bakal menjadi salah satu destinasi hentian Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, selain Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka beroperasi pada tahun 2026 nanti.

“Apabila Melaka telah dimuktamadkan sebagai salah satu hentian HSR ini, jadi secara semula jadinya reaksi pelabur dan kemajuan Melaka akan bertambah rancak. Seluruh rakyat akan mendapat manfaat dari pembinaan HSR itu nanti dengan Ayer Keroh sebagai salah satu perhentiannya.”

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, semalam.

Idris 2

“Mesyuarat EXCO turut bersetuju untuk melantik Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memantau dan merangka persediaan yang perlu dihadapi apabila HSR mula beroperasi kelak yang meliputi pembangunan kawasan sekitar serta kemudahan pengangkutan,” ujar Idris.

Selain itu, bagi menghubungkan bandar serta pekan kecil di negeri ini, Jabatan Perancangan Pengangkutan Negeri diarahkan untuk membuat kajian khusus bagi merancang dan mengenal pasti pengangkutan  baharu yang perlu diwujudkan.

“Jika pembinaan HSR, yang dijangka mula operasi pada 2026, mengambil masa 10 tahun bagi kerangka menyempurnakan pembangunan itu, maka jabatan itu juga memerlukan tempoh yang sama untuk mengkaji dan merancang pengangkutan baharu agar penduduk negeri ini dapat menikmati kemudahan projek antara dua negara itu,” jelasnya.

Tambah Idris, dengan adanya kemudahan HSR itu nanti, pelancong dari Singapura hanya akan mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk sampai ke Kuala Lumpur, manakala hanya 30 minit ke Melaka.

Sementara itu, kerajaan negeri turut melarang keras sebarang projek pembangunan dan tambakan laut dilakukan di sepanjang persisiran pantai berhampiran Kem Terendak dan Kem Rejimen 21 Komando di Sungai Udang di sini atas faktor keselamatan.

Menurutnya, keputusan itu dicapai bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri dikekalkan kerana isu keselamatan merupakan agenda penting kerajaan negeri.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda