Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

“Pulangkan Darjah Kebesaran Atau Letak Jawatan” – Idris

By 21 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memberi kata dua kepada pengamal adat (Sidang) di negeri ini supaya memulangkan semula darjah kebesaran daripada institusi yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Melaka atau meletakkan jawatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri.

Ini berikutan ada beberapa Sidang yang dikesan masih menggunakan beberapa gelaran termasuk Datuk selepas menerima anugerah berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Mesyuarat EXCO memutuskan mereka yang terbabit supaya memulangkan semula anugerah, darjah kebesaran serta gelaran daripada institusi yang tidak diiktiraf seperti Institusi Naning,” ujarnya.

Menurut Idris, amaran keras perlu diberikan kerana kerajaan negeri tidak mahu mereka terus menggunakan gelaran daripada institusi terbabit yang melanggar Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Lambang-Lambang Dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) (Pindaan) 2016 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan lalu.

Tambahnya, individu yang menerima sebarang anugerah kebesaran serta menggunakan gelaran daripada anugerah berkenaan bakal berhadapan dengan tindakan hukuman denda maksimum RM500,000 serta penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita tidak mahu individu yang menerima elaun daripada kerajaan negeri dikenakan hukuman berat. Sebab itu kita minta mereka melepaskan jawatan yang disandang jika tidak mahu memulangkan semula anugerah berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada sukan Karate yang menyumbang kilauan emas pertama buat Kontinjen Melaka di Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak.

“Saya harap pasukan Melaka terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam memburu pingat demi mengharumkan nama negeri,” kata Idris.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda