Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Mesin Lemang Sedia Dimakan Ciptaan Anak Tempatan

By 20 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Pengalaman lebih 10 tahun berniaga lemang mendorong Mohd Hasrudin Tukiran, 49, untuk mencipta mesin membakar lemang yang sedia dimakan dalam masa yang singkat.

Menurut Hasrudin yang lebih dikenali sebagai Cikgu Din, idea tersebut tercetus kerana kaedah pembakaran lemang tradisional memakan masa yang lama dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Jika tersalah teknik, hasilnya tidak memuaskan hati.

Mesin yang dibangunkan selepas percubaan sebanyak lapan kali itu kini dapat membantu Cikgu Din menghasilkan 400 batang lemang secara serentak dalam waktu yang singkat dan bersistematik tanpa menjejaskan rasa keaslian dan mutu lemang.

Mesin Lemang 2

Mesin lemang ciptaan Cikgu Din.

“Dan yang penting ialah seseorang yang ingin membakar lemang tidak perlu mempunyai kemahiran untuk berbuat sedemikian kerana dari segi tradisionalnya, proses pembakaran lemang perlu dijalankan menggunakan bara api dan dijaga dengan teliti,” ujar Cikgu Din.

Ketika ditanya mengenai hak paten, Cikgu Din berkata mereka kini dalam proses mendapatkan hak tersebut daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi memastikan ciptaan berkenaan tidak diciplak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cikgu Din turut berharap agar suatu hari nanti produk inovasinya ini dapat membantu usahawan bumiputera yang lain untuk memajukan perniagaan mereka.

Merupakan seorang pesara kerajaan, Cikgu Din telah memulakan perniagaan lemang di kediamannya bermula tahun 2008 lagi. Hasilnya, dua tahun kemudian dia mampu membeli sebidang tanah di Bukit Katil, Melaka.

Kelazatan dan kelembutan lemang buatan Cikgu Din sememangnya membuatkan pelanggan kembali lagi saban tahun mengunjungi gerainya itu.

Senarai Tempahan Lemang

Senarai tempahan pelanggan Lemang Cikgu Din

Uniknya, jaminan ‘Satu Rosak Ganti Tiga Batang’ yang menjadi slogannya membuatkan pelanggan tertarik untuk mendapatkan lemangnya kerana yakin dengan kualiti yang terjamin.

“Namun, selama saya berniaga belum ada yang datang untuk mendapatkan lemang ganti kerana lemang saya memang dihantar dalam keadaan yang terbaik,” jelas Cikgu Din yang berniaga tanpa membuat sebarang pinjaman.

Lemang yang dijual juga mengikut harga pasaran semasa iaitu antara RM10 hingga RM15 mengikut saiz dan jenis lemang termasuk asli, jagung dan kurma.

Tambahnya, pesanan yang diterima bermula tiga hari sebelum puasa sehingga semalam menjangkau lebih enam ribu batang dan hanya dikendalikan bersama enam orang pekerjanya.

Bagi memudahkan pelanggan beliau, Cikgu Din turut menyediakan perkhidmatan pandu lalu untuk menaikkan mutu perkhidmatan dan layanan beliau. Usahanya turut mendapat sokongan menggalakkan daripada pelanggannya.

Lemang Drive THru

Malaysiaaktif turut berkesempatan menemuramah pelanggan beliau yang menggunakan perkhidmatan tersebut dan rata-rata mereka memuji usaha tersebut.

Adik Naufal Raif Norizan, 10, yang ditemani keluarganya berkata lemang Cikgu Din yang lazat memang menjadi pilihan keluarganya setiap kali menyambut bulan Syawal.

Pelanggan Cilik

Pelanggan cilik, Naufal Raif Norizan bersama ibunya.

“Lemang di sini sedap dan tidak puas kalau makan sikit, saya memang selalu bawa mama membeli di sini kerana di tempat lain ada kalanya lemang yang dibeli keras dan tawar,” jelas Naufal.

Sementara itu, Pensyarah Kolej Matrikulasi Melaka, Norziah Abdul Rahim berkata dia telah menjadi pelanggan tetap Lemang Cikgu Din seawal perniagaan itu dimulakan.

“Saya selalu membantu kenalan untuk membeli lemang di sini walaupun saya bukan seorang ejen. Tujuan saya hanya ingin membantu kawan-kawan untuk mendapatkan lemang yang memenuhi citarasa dengan harga yang berpatutan untuk dimakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Cikgu Din berkata lemangnya juga telah dibawa hingga ke luar negara oleh pelanggan tetapnya termasuk London, China, Australia dan Singapura untuk dinikmati bersama warga Malaysia yang bermastautin di sana.

Lemang Terhidang

Pelbagai variasi Lemang Cikgu Din

“Menurut mereka, lemang tersebut mampu bertahan sehingga lima hari tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk. Ini adalah mengapa cara memasak lemang kena tepat dan santan mesti betul-betul masak,” jelas Cikgu Din.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda