Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SUKMA XVIII-Impian Selangor Balas Dendam Jadi Kenyataan

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Maszuandi Adnan

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaaktif) – “Pada SUKMA lepas saya menghadapi sakit belakang dan saya sekadar mendapat tempat ke enam. Jadi tahun ini saya tekad untuk membalas dendam untuk membawa pulang pingat emas.

Demikian kata atlet Selangor, Savinder Kaur Jogindr Singh yang ditemui selepas acara penyampaian hadiah 800m akhir wanita di Stadium Negeri Sarawak semalam.

Savinder, pelajar program Pra-U di Sekolah Sukan Bukit Jalil yang tercedera dalam SUKMA lepas bangkit membalas dendam dengan memenangi emas setelah menewaskan pelari Kedah, Teoh Kim Chyi  yang memungut perak manakala gangsa dimenangi oleh pelari Sarawak, Faradilah Raznie.

“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama menyeluruh pasukan Selangor dan berharap agar mendapat peluang untuk bertanding pada Sukan SEA akan datang seterusnya dapat masuk dalam Program Kita Juara,” katanya yang mula berlari ketika berumur lapan tahun.

Foto: Maszuandi Adnan

 

Sementara itu, emas bagi acara lelaki juga dimenangi oleh pelari Selangor, Asif Rahman Jiyaudeen yang bangkit daripada kekalahan pada SUKMA yang lalu.

“Saya tak pernah rasa gembira seperti ini oleh sebab SUKMA lepas saya sekadar mendapat tempat ke tujuh dan sejak itu saya mula berlatih tidak kira pagi, petang atau malam.

“Dengan sukan olahraga Selangor dilihat semakin meningkat, ditambah dengan jurulatih baharu dari Kenya amat membantu pencapaian kami pada hari ini. Kalau bukan menerusi program jurulatih, kami mungkin tak sampai ke sini,” jelasnya yang mendapat tempat ke empat pada Asian Junior Athletics Championship di Vietnam Jun lalu.

Pada pertandingan semalam, Asif Rahman Jiyaudeen memperoleh pingat emas, manakala rakan sepasukannya Putra Azrul Syazwan Azman memungut perak sementara pelari tuan rumah, Raymond Yew Lt memungut gangsa.

Foto: Maszuandi Adnan

 

Bagi Timbalan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Sepang, Muhd Hafiz Shaari, pencapaian Selangor ini dilihat sebagai komponen positif hasil kerjasama oleh semua pihak.

“Komitmen yang diberikan oleh para atlet cukup baik dalam usaha untuk mendapatkan emas. Dalam acara 800m misalnya, selain emas, pelari kami juga mendapat pingat perak. Apa yang kami mahukan ialah persaingan yang sihat. Kelebihan memang lebih kepada Sarawak selaku tuan rumah, namun apa yang pasti kami akan tetap memberikan persaingan.

Pada hari ke sembilan semalam, Selangor merampas kedudukan pertama pungutan pingat emas daripada pasukan tuan rumah, Sarawak setelah menambah 11 emas, 11 perak dan empat gangsa menjadikan pungutan keseluruhan 42 emas, 53 perak dan 44 gangsa.

SUKMA XVIII bakal berlangsung sehingga 31 Julai ini.

 

-SF

Tinggalkan komen anda