Oleh: Khairul Shahrizal Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Acara jalan kaki #AnakAnakMalaysia anjuran Kumpulan Media Star dengan kerjasama EcoWorld mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 5 ribu peserta yang memulakan pelepasan dari Pusat Konvensyen Bukit Bintang, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Acara ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai kira-kira jam 7.00 pagi.
Peserta yang memakai baju-T berwarna putih serta menggayakan jalur pergelangan tangan #AnakAnakMalaysia berjalan kaki sepanjang laluan 3.4 kilometer di sekitar ibu negara.
Menurut Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, terdapat dalam kalangan peserta terdiri daripada mereka yang lahir pada 31 Ogos 1957 (Hari Kemerdekaan) dan 16 September (Hari Malaysia). Peserta-peserta ini merupakan ahli Kelab Anak Merdeka yang telah ditubuhkankan pada tahun 2007, kini lebih dikenali sebagai ‘Solidariti Anak Merdeka’ yang merupakan kesinambungan Kelab tersebut.
“Menyedari akan kepentingan, kelab ini diaktifkan semula dan ianya akan dikenali sebagai ‘Solidariti Anak Merdeka’ sebagai satu bentuk penyatuan dan kesepaduan semula berasaskan satu platform kepada Anak Merdeka yang lahir pada 31 Ogos dan 16 September.
“Peserta yang mempunyai keunikan nama “Merdeka” juga merupakan salah seorang peserta yang menyertai acara pada hari ini iaitu Mat Merdeka Embun yang lahir pada 31 Ogos 1957,” katanya.
Tambah beliau, “Jumlah kelahiran warganegara di Malaysia mulai 31 Ogos 1957 sehingga kini (2016) adalah berjumlah 70,722 orang manakala yang lahir pada 16 September 1963 sehingga kini 11,574 (Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja).”
Kibaran Jalur Gemilang di kalangan peserta yang menunjukkan rasa cinta dan sokongan mereka kepada negara menggelorakan lagi semangat patriotik dalam kalangan mereka terutamanya menjelang Hari Kebangsaan yang akan diraikan penghujung bulan ini.
Peserta turut menulis ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 pada papan tanda #AnakAnakMalaysia.
Turut hadir semasa Program tersebut ialah pereka kasut terkenal dunia, Datuk Jimmy Choo, jaguh bina badan negara, Sazali Samad dan bekas Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan.
-DK