Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

10 Ribu Hadiri Doa Untuk Malaysia

By 14 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 Oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Program ‘Doa Untuk Malaysia’ (Pray For Malaysia) yang diadakan bagi menggelorakan lagi semangat patriotik bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 telah berjaya menghimpunkan kira-kira 10 ribu umat Islam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur di sini, Jumaat lalu.

Program yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan dengan nilai keagamaan melalui pengisian program yang berteraskan Islam.

Selain itu bagi menerapkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta melahirkan rakyat yang cintakan agama, bangsa dan negara.

IMG-20160814-WA0006

Umat Islam juga dinasihatkan untuk mencontohi akhlak dan keperibadian Rasullullah SAW. Di samping itu, seharusnya sebagai umat Islam kita harus berasa rendah diri dan memohon kepada Allah SWT agar sentiasa memberi kekuatan kepada pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia menghadapi apa jua ujian yang diturunkan.

Kehadiran khalayak bermula seawal jam 7.00 malam. Selepas ketibaan Perdana Menteri diiringi Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, solat Isyak dan solat Hajat berjemaah diadakan yang diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.

IMG-20160814-WA0004

Bacaan ‘Doa Untuk Malaysia’ seterusnya di pentas utama yang dipimpin oleh Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Asmawi Tuan Omar. Majlis diteruskan dengan alunan selawat dan qasidah yang dipimpin oleh Habib Syech Abdul Kadir Abdul Rahman Assegaf serta diisi dengan bacaan tawsih oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid.

Tahun ini merupakan kali ketiga penganjuran Program ‘Doa Untuk Malaysia’ dan ia merupakan antara acara tahunan sebagai pembukaan kepada semua acara-acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2016 yang disusun oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai Sekretariat Merdeka.

Program ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan serta Agensi Kerajaan, Stesen Televisyen dan Radio RTM, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta mendapat sokongan daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM). RTM merupakan penyiar rasmi manakala Nasional FM sebagai radio rasmi bagi Program ‘Doa Untuk Malaysia’ pada tahun ini.

‘Doa Untuk Malaysia’ bukan sahaja difokuskan kepada umat Islam sahaja, malahan penganut agama lain juga telah dan akan mengadakan Program ‘Doa Untuk Malaysia’ mengikut kepercayaan agama masing-masing. Antaranya bagi agama Hindu telah diadakan pada Jumaat, 12 Ogos 2016 yang lalu di Kuil Sri Raja Rajeswari, Taman Sentosa, Klang, Selangor.

Manakala penganut agama Kristian bertempat di Grace Church No. 30, Bukit Rimau, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, agama Sikh di Gurdwara Sahib Sentul, Kuala Lumpur dan agama Buddha di Sri Jayanthi Buddhist Temple, Sentul Selatan, Kuala Lumpur, kesemuanya akan berlangsung pada Ahad, 28 Ogos 2016 ini.

IMG-20160814-WA0008

Turut hadir barisan menteri-menteri kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Ashraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

-DK

Tinggalkan komen anda