Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Bayi Menangis Darah Hanya Penyakit Normal – Doktor Pakar

By 15 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – “Sebenarnya, penyakit mata berdarah ialah salah satu penyakit normal dalam kalangan bayi dan kami menerima sekurang-kurangnya seorang pesakit bayi yang menghidap penyakit tersebut setiap bulan. ”

Menurut Ketua Pakar Perunding Mata Hospital Melaka, Doktor Raja Norliza Raja Omar, penyakit yang dikenali secara saintifiknya sebagai Pseudomembranous Conjunctivitis itu sama seperti sakit mata yang dihidapi orang dewasa.

Kenyataan tersebut dijelaskan kepada pemberita pagi tadi berikutan beberapa akhbar tempatan semalam menyiarkan kisah Hazura Kamal Santhirasehar, 24, yang buntu tentang penyakit anaknya yang mengeluarkan darah ketika menangis.

Bayi berusia dua bulan itu, Maryam Batrisya Abu Kassim disahkan menghidap penyakit tersebut kerana jangkitan kuman pada lapisan dalam mata (conjunctiva) menyebabkan matanya berdarah ketika menangis. dan ianya tidak asing berlaku kepada bayi atas beberapa faktor.

“Jangkitan kuman pada lapisan conjunctiva menyebabkan bayi mengalami sakit mata dan bertahi seterusnya mengeluarkan darah ketika bayi menangis,” jelas Raja Norliza ketika ditemui di Hospital Melaka.

Tambahnya, penyakit ini mengambil masa untuk pulih dan ibu perlu kerap datang untuk membuat rawatan bagi membersihkannya.

“Ibu bapa juga perlu menekankan aspek kebersihan dan faktor persekitaran agar  Pseudomembranous Conjunctivitis dapat dikawal.

“Sebenarnya kebersihan dan persekitaran mainkan peranan, lepas bersihkan mata pastikan tisu atau putik kapas terus dibuang dan pastikan juga tangan kita bersih kerana imunisasi bayi belum cukup kuat.

“Penyakit ini bukan sesuatu yang memudaratkan. Namun, jika merebak ke bahagian kornea mata boleh menyebabkan buta. Tetapi, untuk kes jangkitan kuman ini tak pernah lagi terjadi sedemikian,” katanya.

2

Sementara itu, Hazura yang ditemui tadi berkata, penyakit anak bongsu dari lima beradik itu dikesan sejak usia anaknya lima hari dan ia membimbangkan dirinya sekeluarga.

“Setakat ini sudah lebih 20 kali saya berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan dan kini dia beransur pulih. Namun, saya juga bercadang untuk membuat rawatan Islam untuknya,” katanya.

Tambah Hazura, dirinya sedikit lega setelah mendapat penjelasan daripada doktor pakar yang menerangkan secara terperinci tentang  penyakit anaknya itu.

Kini, dia hanya mengharapkan anaknya itu pulih secepat mungkin dan membesar seperti bayi normal yang lain.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda