Skip to main content
GlobalHome

Sukan Olimpik Rio-Beregu Campuran Lakar Sejarah

By 16 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Bernama

RIO DE JANEIRO, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Kontinjen Malaysia menarik nafas lega apabila buruan emas pertama Sukan Olimpik semakin menjadi kenyataan apabila beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mara ke peringkat akhir setelah merobohkan Tembok Besar China, Xu Chen dan Ma Jin, 21-12, 21-19 di Pavillion 4, pagi tadi.

Kemenangan itu cukup manis apabila pasangan ranking ke-11 dunia itu berjaya mengejutkan bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 sekali gus menjamin genggaman sekurang-kurangnya pingat perak buat skuad negara.

Kejayaan tersebut melakar sejarah tersendiri apabila mereka berjaya menjadi beregu campuran pertama negara yang mara ke peringkat akhir sejak acara berkenaan dipertandingkan pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona.

IMG_2468

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong membenam pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong 17-21, 21-18, 21-19. Foto: Bernama

Esok mereka bakal berdepan dengan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir yang mengejutkan pilihan utama dari China, Zhang Nan dan Zhao Yunlei, 21-16, 21-15.

Sementara itu, dalam saingan suku akhir semalam, beregu lelaki negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong juga telah melakukan kejutan apabila berjaya membenam pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong 17-21, 21-18, 21-19.

Pada separuh akhir yang bakal berlangsung malam ini, mereka bakal bertemu dengan pasangan China, Chai Biao dan Hong Wei yang menewaskan pasangan Russia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov, 21-13, 16-21, 21-16

Pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pula akan beraksi pada peringkat suku akhir menentang pemain Chinese Taipei, Chao Tien Chen pada malam esok.

Tinggalkan komen anda