Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya) / Foto: Swady Guliling
PUTRAJAYA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – “Pihak Universiti sedia membantu para pelajar yang mengalami kesulitan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran.”
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkannya di sini tadi.
Idris mengeluarkan kenyataan demikian setelah mendapati ada golongan B40 (Bottom 40), yang menghadapi masalah kewangan untuk membayar yuran pendaftaran bagi Program Pengajian Lepasan STPM/setaraf peringkat ijazah sesi akademik 2016/2017 yang bermula hari ini.
“Naib Canselor Universiti Awam (UA) telah menzahirkan keprihatinan tentang hal ini dan memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan diberikan.
“Para pelajar baharu diminta untuk hadir pada hari pendaftaran di UA masing-masing dan bolehlah merujuk kaunter khas yang disediakan oleh pihak universiti untuk bantuan kewangan,” jelasnya.
Tambahnya, PTPTN turut menyediakan bantuan wang pendahuluan pembiayaan (WPP) berjumlah RM1500 bagi pelajar yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. WPP boleh ditunaikan oleh pelajar penerima mulai 22 Ogos lepas.
Sementara itu, pelajar yang berhasrat untuk mendapatkan pinjaman PTPTN, hendaklah memastikan permohonan secara dalam talian yang lengkap hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos 2016.
Sebanyak 39,862 pelajar mula mendaftar di 20 UA di seluruh Malaysia pada hari ini sehingga 4 September depan.