Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelakaViral

Melaka Kekurangan Pekerja Dalam Bidang Hospitaliti

By 3 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Foto: Facebook Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, Malaysia

MELAKA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan, Melaka memperoleh sumber ekonomi utama melalui industri pelancongan dan hospitaliti. Namun, industri tersebut kini bakal berhadapan dengan masalah apabila tenaga pekerja dalam industri tersebut mengalami kekurangan yang amat kritikal.

Menurut unjuran Malaysian Association of Hotels (MAH), bagi negeri Melaka sahaja, lebih 1,700 pekerja dalam bidang hospitaliti masih diperlukan untuk menampung kepesatan pembangunan industri perhotelan.

“Setiap tahun, hampir 200 graduan Kolej Komuniti dalam bidang Hotel and Catering dan elektrik disalurkan sebagai tenaga pekerja mahir bagi mendokong kerancakan industri hotel dan pelancongan Melaka serta negeri-negeri lain,” ujar Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM), Mohd. Faisal Ishak.

Pengarah KKBBM, Mohd. Faizal ketika ditemui di pejabatnya.

Pengarah KKBBM, Mohd. Faizal Ishak ketika ditemui di pejabatnya. / Foto: Fauzrina Hj Bulka

Menurutnya, kecekapan kemahiran daripada sistem latihan yang berteraskan industri (Industry Led & Industry Driven) dan permintaan yang tinggi, ada di kalangan graduan KKBBM dalam bidang Sijil Kulinari dan Sijil Operasi Perhotelan telah ditawarkan bekerja di hotel-hotel hebat luar negara seperti di Singapura, Brunei, Negara Arab dan Australia.

“Graduan Sijil Kulinari dan Sijil Operasi Perhotelan KKBBM adalah amat terlatih mengikut spesifikasi sebenar keperluan industri perhotelan. Hasilnya, sebahagian besar graduan Kulinari dan Operasi perhotelan KKBBM telah diserap bekerja ketika mereka sedang menjalani latihan industri,” ujar Mohd. Faisal.

Tambahnya, pihak kolej telah menggarapkan beberapa inisiatif dan program-program strategik bagi memastikan setiap graduan KKBB mendapat tempat bekerja yang terbaik dan berpendapatan tinggi.

“Setiap tahun, KKBBM akan menjalin kerjasama strategik bersama sekurang-kurangnya 10 hingga 15 hotel baharu. Melalui kaedah yang dipanggil Teaching Hotel ini, secara metadologinya, para pelajar Hotel and Catering dapat didedahkan kepada situasi pekerjaan sebenar.

“Kaedah yang dijalankan secara menang-menang ini membolehkan para pelajar belajar dalam suasana pekerjaan sebenar yang memerlukan ketepatan masa, kualiti bekerja, produktiviti, berpakaian kemas dan soft-skill manakala pihak hotel yang bekerjasama pula akan mendapat tenaga kerja bagi menampung keperluan pekerja dengan kos yang amat menjimatkan,” katanya lagi.

Tambahnya, Program ‘Earn While U Study’ pula apabila setiap pelajar Hotel Katering digalakkan bekerja secara sambilan pada waktu lapang atau di hujung minggu untuk mendapatkan pengalaman bekerja di samping menampung kos kehidupan di Kolej.

“Semasa dalam latihan lagi, mereka telah digalakkan bekerja di hotel di hujung minggu dan semasa cuti semester. Setiap pelajar dibawa untuk menjalankan aktiviti kemahiran misalnya aktiviti pramusaji.

“Pihak KKBBM memang sentiasa mendapat jemputan berbayar untuk melaksanakan aktiviti pramusajian dan yang terbaru ialah Majlis Malam Mes Aseanpol (Polis Asean) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 26 Julai lalu,” ujarnya.

Kolej Komuniti merupakan salah satu pilihan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing. Sering kali dianggap sebagai sektor pendidikan kelas kedua, Mohd. Faizal ingin menghapuskan pemikiran berat sebelah tersebut.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda