Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Penemuan Batu Nisan Belimbing Tunggal Nusantara

By 23 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Ihsan Drs. Mohd Nasruddin Rahman

MELAKA, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengerusi Persatuan Pelancongan Warisan Malaysia (Warisan) negeri Melaka, Drs. Mohd. Nasruddin Rahman percaya penemuan batu nisan lama berbentuk belimbing yang ditemui di Kampung Chohong, Jasin pada 6 Ogos lalu adalah satu-satunya di Nusantara setakat ini.

“Saya telah berhubung dengan rakan-rakan ahli arkeologi saya di Malaysia dan juga di Sumatera, Indonesia serta turut diakui oleh Profesor Dr. Daniel Perret yang merupakan seorang penyelidik dari Perancis bahawa batu nisan belimbing yang ditemui di Melaka ini merupakan satu-satunya di Nusantara,” katanya.

Batu Nisan Belimbing 2Ini berikutan penemuan lebih 100 makam lama oleh penduduk kampung serta ahli warisan yang berterusan melakukan kajian beberapa bulan lalu di kawasan terbabit dan hasilnya menemui 12 rupa bentuk batu nisan yang berlainan, dan tiga pasang daripadanya adalah berbentuk belimbing yang diperbuat daripada laterit (tanah liat merah yang terbentuk daripada pereputan batu dan terdiri daripada besi oksida dan aluminium hidroksida).

Menurut Mohd. Nasruddin yang juga Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), di negara Thailand banyak ditemui nisan diperbuat dari laterit, malah mereka ada perusahaan seumpamanya di sana, namun perbezaannya ialah bentuk nisan tersebut kerana kebiasaannya tidak diukir sebegitu (bentuk belimbing).

Batu Nisan Belimbing

“Sifat laterit ini susah diukir. Kalau dilihat nisan yang sama saiz itu seperti mereka
membuatnya menggunakan acuan dan itu menunjukkan Melayu telah lama bertamadun, juruukirnya pula mengukir bukan hanya pada kayu, tapi juga batu.

“Justeru, untuk jangka masa panjang satu kajian yang komprehensif perlu dibuat di sepanjang sungai kerana dikatakan penempatan dahulu didirikan di tepi sungai atau pantai bagi memudahkan mereka mendapatkan sumber makanan.

“Kalau kita lihat di Sungai Kesang dan Sungai Chohong, terdapat kubur-kubur lama di tepi sungai. Penemuan awal di permukaan itu terdapat pecahan-pecahan porselin yang setakat ini dikenal pasti sebagai tinggalan Dinasti Ming,” jelasnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Malaysiaaktif di ISMMA, semalam.

Difahamkan, pentarikhan baru pengasasan Melaka ialah pada tahun 1262 Masihi. Justeru, kajian yang ingin dilakukan nanti adalah bagi menguatkan pentarikhan ini yang tidak cukup kuat tanpa sokongan sumber arkeologi.

“Jika pentarikhan tersebut tidak kuat, ia hanyalah sebuah manuskrip  yang boleh ditulis semula. Dalam ilmu sejarah dipanggil sebagai kritik sumber yang bermaksud sumber itu boleh dikritik. Sebab itulah kajian sebegitu perlu dibuat supaya ianya boleh menyokong pentarikhan tersebut.

Drs. Mohd Nasruddin menunjukkan buku pentarikhan baru Melaka.

Drs. Mohd Nasruddin menunjukkan buku pentarikhan baru Melaka.

 

“Sekarang kita boleh terima penubuhan kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1400 dan itu sudah pasti. Tapi untuk penubuhan Melaka pada 1262, kita belum temui jumpaan arkeologinya. Jadi, inilah yang kita sedang usahakan dan melalui kajian yang akan dibuat, saya yakin akan menemui banyak jumpaan yang boleh membantu kita mendapatkan fakta baru untuk mengubah sejarah Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasruddin turut mengesahkan penglibatan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Jabatan Warisan dan Jabatan Muzium yang turut sama berusaha untuk membuat kajian tersebut dan kerjasama pihak-pihak tersebut menunjukkan mereka turut peka terhadap perkara ini.

“Untuk membuat kajian tersebut, kita boleh mendapat bantuan sukarelawan seperti pelajar dan orang ramai yang berminat untuk terlibat. Kita jangka kajian yang akan dijalankan di tanah seluas kira-kira dua ekar ini akan dimulakan selewat-lewatnyanya pada bulan Oktober nanti.

“Proses ini akan mengambil masa selama tiga hingga empat bulan. Jika kita temui jumpaan, kita akan luaskan lagi struktur kawasan dan ini menyebabkan kajian sebegini mengambil masa yang lama,” katanya.

Drs. Mohd. Nasruddin (kanan) bersama ahli pasukannya di tapak penemuan batu nisan belimbing di Kampung Chohong, Jasin.

Drs. Mohd. Nasruddin (kanan) bersama ahli pasukannya di tapak penemuan batu nisan belimbing di Kampung Chohong, Jasin.

 

Sementara itu, menurut Mohd. Nasruddin lagi, seorang ahli sejarawan terkemuka, Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim turut mengatakan kemungkinan ada penempatan awal sebelum kesultanan Melayu Melaka lagi cuma kedatangan Parameswara menunjukkan sebuah penempatan yang lebih tersusun dan membentuk sebuah entiti kerajaan.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda