
Oleh: Mohd Zanizal Zamani (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Memperjuangkan semangat patriotisme, larian sejauh 500 kilometer seorang bekas tentera, Nasir Abas atau lebih dikenali sebagai Pak Nasir, 61, telah memasuki hari ketiga, hari ini.
Pak Nasir yang juga merupakan Imam Surau Al Hijrah di Kuala Kedah, ditemui Malaysiaaktif ketika melakukan larian dari Sungai Petani menuju ke Bukit Mertajam, semalam.
Cuaca mendung di sini semalam tidak mematahkan semangat Pak Nasir untuk meneruskan larian yang dijangkan mengambil masa selama 10 hari.
Memulakan larian solonya pada Ahad lalu di Masjid Zahir, Alor Setar, Pak Nasir berhasrat untuk menamatkan lariannya di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada tahun ini.
Turut mengiringi Pak Nasir, isteri, anak serta rakannya, bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda.
– AH