Skip to main content
Berita Tempatan

Syukur Terpilih Jadi Tetamu Ilahi – Jaafar

By 17 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

  Oleh: Zuraidah Ahmad & Ahmad Marif Ag.Damit (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Malaysiaktif) – Pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berasal dari Taman Limauan Kinarut dekat Papar terpilih menjadi tetamu Allah SWT pada musim haji 1437H/2016M.

Walaupun kali kedua untuk dirinya, namun hasratnya membawa isteri tercinta menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama-sama ialah perkara yang sekian lama dihajatinya. Bekas guru (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) KAFA itu memutuskan untuk berhenti mengajar setelah menceburi bidang pengangkutan awam demi mengumpul kewangannya.

“Pada 1997, saya ialah Johan Qari Musabaqah Al-Quran JPBM Peringkat Kebangsaan, dengan hadiah pakej haji itulah saya berpeluang mengerjakan ibadah haji sendirian.

“Sejak itu bermulalah karier sampingan saya sebagai Guru KAFA selain berkhidmat dengan jabatan Bomba. Setelah bersara pada usia 55, saya mencuba nasib dalam sektor pengangkutan awam dan saya sangat serasi dengan bidang itu.

“Kemudian, saya pun mengambil keputusan untuk berhenti mengajar demi menumpukan sepenuhnya dalam bidang yang baru saya ceburi. Di samping wang pencen, saya juga mempunyai sedikit tabungan hasil sewaan bas yang saya jalankan ketika ini.

“Lebih kurang sembilan tahun menunggu tanpa jemu, kami membuat rayuan pada setiap awal muharam kepada Lembaga Tabung Haji agar dipercepat giliran. Akhirnya, alhamdulillah tahun ini kami berjaya dipilih,” luahnya dengan senyuman.

Isterinya, Begonjan Badiol Zaman, 55, turut berkongsi cerita yang dia tidak percaya mereka dengan panggilan telefon yang diterimanya oleh pihak Lembaga Tabung Haji. Sukar bagi dia menerima kenyataan kerana dia hampir berputus asa menunggu setiap tahun. Dia yang mempunyai lebih berat badan seringkali mengalami keletihan ketika berdiri. Justeru, dia lebih selesa menggunakan kerusi roda.

Penyair, Hasyudah Abadi merupakan kumpulan pertama jemaah haji yang berangkat ke Madinah.

Penyair, Hasyudah Abadi merupakan kumpulan pertama jemaah haji yang berangkat ke Madinah.

Berbeza dengan kisah penyair Sukor Usin @ Hussin, 55, yang terkenal dengan nama penanya Hasyuda Abadi, telah menghasilkan enam buah buku puisi serta cerpen dan kini masih aktif menulis di kolum Sastera Akhbar Utusan Borneo setiap minggu. Dia memilih bersara lebih awal di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana yakin dengan bakat dan pengalamannya selama 35 tahun dalam bidang penulisan dan mampu menjana pendapatan keluarga.

Mendaftar haji sudah dilakukannya sejak 1997, namun tempoh menunggu tidak begitu dirasa kerana dia dan isteri telah mengerjakan ibadah umrah pada 2009 sebagai persediaan mengerjakan ibadah haji.

haji  (5)

Majlis Meraikan Keberangkatan Kumpulan Pertama Haji Sabah di Kompleks Tabung Haji dekat Sembulan, pada Isnin.

“Saya pesara kerajaan dengan tempoh perkhidmatan selama 30 tahun, enam tahun di RTM Sabah dan selebihnya sebagai Penolong Pegawai Penerangan Pilihan Raya di SPR Sabah,” ujarnya.

Mereka ditemui pada Majlis Meraikan Keberangkatan Kumpulan Pertama Haji Sabah di Kompleks Tabung Haji dekat Sembulan, pada Isnin. Jaafar, Begonjan dan Sukor merupakan antara 150 bakal haji Sabah yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan pesawat MH8109/KT24S pada jam 11.15 malam  ke ibu negara dan dijadual tiba di Madinah, Arab Saudi pada jam 9.10 pagi Selasa, waktu tempatan.

Turut berlepas dua lagi penerbangan dijadual berlepas masing-masing dengan pesawat KT25S dan KT41S pada 11.15 malam semalam dan 21 Ogos nanti. Jumlah itu termasuk lebih 700 jemaah haji yang sebahagian kecilnya akan berlepas terus melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

-SF

 

Tinggalkan komen anda