
Oleh : Mulyani Bt Nong Che’ / Foto : Lee Nyuk Lan
KUCHING, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat cinta akan negara dan menginginkan keamanan yang berterusan mendorong seorang nelayan memasang 300 bendera di sepanjang jalan masuk ke Lorong Bentara 1, Jalan Bentara dekat sini.
Rosli Ahamat, 47 dari Kampung Wawasan Jaya Semariang mula mengambil inisiatif menghias jalan masuk kampung dengan bendera sejak 12 tahun lalu.
“Saya mula bersemangat untuk memasang bendera ketika sambutan bulan kemerdekaan kerana saya mahu generasi hari ini dan akan datang memiliki semangat cinta akan negara.
“Kesedaran tentang pentingnya keamanan di negara ini timbul apabila menyaksikan pelbagai peperangan berlaku di beberapa negara lain. Keamanan juga penting supaya generasi akan datang dapat mewarisi keharmonian seperti hari ini,” jelasnya yang ditemui oleh wakil Malaysiaaktif semalam.
Bercerita tentang minat menggantung bendera jalur gemilang dan bendera Sarawak, ayah kepada enam orang anak ini memberitahu bahawa dia menggunakan lebih 300 bendera untuk tujuan tersebut.
“Perbelanjaan membeli bendera dan hiasan dianggarkan lebih kurang RM2000 dan kami mengumpul wang sesama sendiri. Kami tidak ditaja oleh sesiapa,” ujarnya.
Seramai 30 orang pemuda dan pemudi kampung turut serta dalam pemasangan bendera di Lorong Bentara 1 melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Wawasan Jaya dan Kampung Semariang Jaya.
“Pada mulanya, ketika saya menghias kampung dengan bendera saya hanya dibantu oleh kanak-kanak tetapi selepas itu pemuda dan pemudi kampung turut sama membantu,” ujarnya.
Selain bendera, Rosli dan pasukannya juga menggantung poster yang mengingatkan masyarakat kampung yang melalui kawasan tersebut tentang semangat patriotik dan keamanan.
“Pada tahun ini, kami juga meletakkan maskot legenda di negeri ini, kucing di hadapan pintu gerbang dan tahun lepas kami menggunakan maskot berupa buaya,” katanya dengan penuh semangat.
Sempena dengan bulan kemerdekaan, Rosli berharap agar setiap warganegara Malaysia memastikan kemerdekaan negara ini berterusan.
Bendera tersebut mula dipasang sejak 31 Julai hingga 16 September di kampung tersebut bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
-SF